Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengagumi semangat rakyat Sabah yang tidak berganjak meskipun hujan lebat untuk menyaksikan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, di sini, malam ini.

Secara berseloroh, beliau berkata, semangat yang ditunjukkan rakyat Sabah itu mendorongnya untuk datang ke negeri ini setiap dua minggu sekali.

Beliau menyatakan penghargaan atas semangat yang ditunjukkan rakyat Sabah itu sebagai gambaran sokongan terhadap negara dan Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

“Saya akhiri sekali lagi dengan menyertakan penghargaan. Kepada sahabat saya, saudara Datuk Seri Hajiji (Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor) dan pimpinan jawatankuasa yang melaksanakan majlis ini.

“Dan semangat anak-anak Sabah ini luar biasa. Hujan lebat, tapi dia (orang ramai) tak berganjak. Inilah sebabnya saya dua minggu sekali datang ke Sabah.

“Saya ingatkan hari ini Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) kata dia mesti ikut. Dia mulai bimbang.

“Mengapa abang Anwar terlalu kerap ke Sabah dan ke Sarawak. Jadi, sekali lagi saya ucapkan terima kasih,” katanya ketika mengakhiri ucapan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, di sini, malam ini.

Majlis yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dianggarkan lebih 30,000 hadirin membanjiri Padang Merdeka, Kota Kinabalu pada malam ini bagi menyaksikan sambutan ulang tahun negara yang ke-61 pada tahun ini.

Sambutan yang bermula jam 8.30 malam itu bagaimanapun terganggu disebabkan hujan lebat, menyebabkan pengunjung yang membanjiri Padang Merdeka basah kuyup.

Orang ramai yang datang seawal jam 5 petang tadi bagaimanapun tidak berganjak, meskipun terpaksa mencari tempat berteduh di sekitar astaka Padang Merdeka.

Anwar berkata, beliau mahu melihat Malaysia terus megah dan hebat serta mencatat kemajuan yang membanggakan.

“Kita mahu negara boleh menjadi contoh yang hebat. Negara pelbagai kaum, pelbagai agama, tapi satu semangat, satu jiwa,” katanya.-BH Online