Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLUANG: Kerajaan negeri sedang merangka dan menyediakan pelbagai agenda untuk masa depan orang muda di Johor termasuk membuka peluang pekerjaan dan ekonomi dengan kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City. 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata beliau sudah berunding dengan banyak syarikat bagi memastikan ekonomi anak muda Johor dapat dipertingkatkan.

“Saya juga berjumpa dengan pelabur supaya diberikan peluang pekerjaan untuk anak muda Johor termasuk di Kluang,” katanya pada program Sembang Santai Anak Muda Bersama MB di Ngepot Kabin di sini hari ini.

Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah, 40.

Pada Mei lalu, Onn Hafiz berkata, JS-SEZ yang membabitkan enam pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang, Kulai dan Kota Tinggi bakal dibangunkan di kawasan Iskandar Malaysia dan Pengerang membabitkan keluasan 3,505 kilometer persegi.

Beliau berkata, Kerajaan Johor mencadangkan 16 sektor ekonomi dijangka dapat memberikan limpahan sosioekonomi kepada negeri dan negara iaitu sektor elektrik dan elektronik; perubatan; farmaseutikal; penerbangan, kimia khusus; logistik kesihatan dan pendidikan.

Selain itu, sektor kewangan dan perkhidmatan perniagaan; tenaga; ekonomi digital; pelancongan; makanan; teknologi pertanian; industri kreatif; industri Halal dan perkilangan.

Insentif khas bagi Forest City pula akan dimuktamadkan Ogos ini bagi menarik institusi kewangan dan perbankan ke SFZ.

Sementara itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, banyak perkara sudah dilakukan kerajaan negeri di daerah ini, antaranya menyediakan infrastruktur dan kompleks belia, selain dalam sektor pendidikan.

Beliau berkata, isu tekanan air rendah pada Aidilfitri dan Aidiladha baru-baru ini di beberapa kawasan di sini juga sudah diselesaikan.

Susulan itu, katanya, golongan muda wajar mengundi calon BN pada PRK DUN Mahkota nanti.-BH Online