Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kerajaan bersetuju memperuntukkan sebahagian daripada RM200 juta dalam Tabung Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara kepada institusi di bawah MIC dan MCA, tahun ini.

Bagaimanapun jumlah peruntukan kepada Kolej Tafe dan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) akan ditentukan kemudian menerusi perbincangan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dana berkenaan akan diberikan mengikut keperluan kursus yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) berkenaan.

“Ia sebahagian daripada RM200 juta yang kita terima daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Tabung Pembangunan TVET Negara. 

“Dana itu akan dibahagikan mengikut kursus-kursus yang sedang atau akan dijalankan oleh Kolej Tafe dan TAR UMT.

“Saya sudah mengadakan perbincangan awal dengan Setiausaha Sekretariat TVET yang mengadakan rundingan dengan kedua-dua IPT berkenaan, tetapi perinciannya akan diberitahu kemudian. (Jumlah peruntukan) itu bergantung kepada keperluan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung MIC Ke-78, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara dalam ucapan perasmiannya berikrar mengetepikan sentimen perkauman dalam pembangunan pendidikan kepada seluruh masyarakat terutama melibatkan TVET.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan Kolej Tafe melalui Jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Untuk Kolej Tafe, mesyuarat Jemaah Menteri dua minggu lalu membuat keputusan pelajar yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 6, 7 dan 8 diiktiraf sama dengan ijazah pertama.

“Oleh demikian untuk Kolej Tafe, saya akan usahakan pelajar yang ada SKM Tahap 6, 7 dan 8 dapat ijazah daripada Kolej Tafe dan juga MTUN. Itu saya umumkan di Perhimpunan MIC hari ini kerana berlaku masalah keciciran paling banyak,” katanya.-BH Online