Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus memperkasakan generasi huffaz bagi memastikan golongan itu bukan saja berjaya dalam hafazan tetapi juga mampu bersaing dan menyumbang dalam pelbagai bidang profesional pada peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) telah memperkemas Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) dan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH).

“Program Eksplorasi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan Tahfiz turut diperkasakan demi pembangunan huffaz yang seimbang antara ilmu agama dengan kemahiran duniawi,” katanya dalam satu hantaran melalui Facebook, hari ini.null

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menzahirkan kesyukuran atas kejayaan penganjuran Himpunan 24K Huffaz yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Beliau berkata, kehadiran seramai 24,000 huffaz dari seluruh negara pada program itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memartabatkan al-Quran dan huffaz sebagai modal insan yang penting bagi negara.

“Dengan tema ‘Huffaz Tonggak Modal Insan Negara’, himpunan itu adalah manifestasi usaha kerajaan untuk memastikan generasi huffaz terus memainkan peranan penting dalam masyarakat kita sebagai peneraju moral, etika dan kerohanian.

“Semoga Allah SWT terus memberkati usaha murni ini, dan semoga al-Quran terus menjadi cahaya yang menerangi setiap langkah kita sebagai umat Islam serta rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam, Majlis Himpunan 24K Huffaz mengumpulkan huffaz dari seluruh negara, termasuk pelajar dan guru tahfiz serta alim ulama dari 1,500 madrasah tahfiz al-Quran yang bernaung bawah Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA).

Himpunan itu dicetuskan semula oleh Ahmad Zahid bermatlamat meletakkan agenda pengislahan generasi masa depan, dengan mengutamakan pendidikan al-Quran sebagai asas penting.

Objektif lain himpunan itu ialah memartabatkan al-Quran, mengukuhkan silaturahim, dan mendidik, menginspirasi serta memperkasakan generasi berasaskan nilai-nilai al-Quran untuk manfaat sosial masyarakat dan negara. – BERNAMA