Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLUANG: Isu banjir kilat yang kerap berlaku di beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan diberikan tumpuan oleh calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Abdullah.

Mengakui beberapa kawasan masih dihantui masalah ini, Syed Hussien berkata beliau akan mengambil maklum perkara itu untuk diketengahkan serta dibawa ke pihak berkaitan.

Katanya, terdapat beberapa kawasan atau tempat yang sebelum ini kerap dilanda banjir kilat sudah diatasi.

“Saya juga dimaklumkan penduduk bahawa sebahagian tempat masih lagi berlaku banjir kilat sekiranya hujan berterusan,” katanya selepas siri kempen di sekitar DUN Mahkota, hari ini.

Syed Hussien berkata, beliau perlu merujuk dan mendapatkan pandangan agensi terbabit seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Perbandaran Kluang (MPK).

Jelasnya, isu banjir di sekitar DUN Mahkota akan diberi perhatian seluasnya sekiranya beliau diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat di kawasan terbabit.

Mengenai kempen bersemuka bersama pengundi, Syed Hussien berkata pendekatan ini amat sesuai kerana beliau dapat mendengar sendiri isi hati rakyat di kawasan itu.

Katanya, kempen bertemu masyarakat mendapat lebih sentuhan berbanding ceramah kerana rakyat di sini boleh meluahkan masalah secara langsung.

“Ada beberapa isu dibangkitkan pada kempen hari kedua oleh penduduk di kawasan ini. Masalah tanah perkuburan, isu di pasar awam… jadi kita mendengar mereka untuk mengambil langkah sewajarnya.

“Alhamdulillah walaupun kempen baru bermula, sambutan diterima amat menggalakkan dan saya akan cuba yang terbaik untuk mengatasi serta memberi perhatian terhadap permasalahan mereka hadapi.

“Di sinilah pentingnya bersemuka kerana kita mahu mengetahui apa yang mereka harapkan ataupun luahan masing-masing,” katanya.-BH Online