Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) baru-baru ini, berada dalam perlindungan dan penjagaan sewajarnya.

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang memberi jaminan kebajikan kanak-kanak terbabit sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, kumpulan kanak-kanak terbabit kini berada di tempat selamat di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pengawasan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Nancy menghargai keprihatinan orang ramai terhadap isu terbabit, selain berterima kasih kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat yang prihatin terhadap kanak-kanak berkenaan.

“Saya tidak mengeluarkan kenyataan atau respons awal terhadap kes ini untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan lancar.

“Saya tidak mahu sebarang kenyataan mengganggu siasatan atau operasi.

“Apa yang boleh saya kongsikan ialah kementerian melalui JKM terbabit dari awal dalam operasi ini. Sokongan semua amat dihargai dan kami akan terus menjalankan tanggungjawab demi kepentingan terbaik kanak-kanak.

“Kami sentiasa prihatin terhadap kebajikan kanak-kanak dan tugas JKM dalam hal ini adalah memberi perlindungan, penjagaan dan sokongan sewajarnya supaya mereka tenang, selesa dan selamat.

“Saya beri jaminan kanak-kanak ini berada dalam perlindungan dan penjagaan sewajarnya. Kebajikan mereka dijaga dengan baik.

“Sebarang maklumat lanjut mengenai operasi ini, saya serahkan kepada komunikasi PDRM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

BH semalam melaporkan kanak-kanak dan remaja diselamatkan dari rumah amal dikaitkan dengan GISBH kini menjalani saringan kesihatan fizikal dan mental.

Langkah itu dilakukan bersama JKM dan Kementerian Kesihatan di beberapa lokasi perlindungan di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilapor mendedahkan, kanak-kanak di rumah amal itu diasingkan daripada keluarga sejak usia dua tahun dengan risikan mendapati mereka menjalani proses tumbesaran sepenuhnya dalam premis berkenaan.

Pada sidang media di Kuantan, Pahang Rabu lalu, Razarudin berkata, siasatan mendapati mangsa diajar dan dididik cara meliwat, seterusnya mangsa diliwat penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.-BH Online