Serdang: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 menyasar tiga juta pengunjung sepanjang 12 hari acara diadakan di MAEPS, di sini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sasaran itu mampu menjana nilai jualan langsung mencapai RM40 juta, serta nilai potensi pembiayaan kewangan sebanyak RM600 juta.
“Saya percaya MAHA 2024 akan menjadi sebuah platform penting yang menekankan aspek kelestarian dan inovasi dalam sektor pertanian Malaysia.
“Fokus utama pameran ini adalah mempromosikan amalan pertanian yang lestari, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), untuk memastikan sumber alam semula jadi dapat dipelihara dan dimanfaatkan oleh generasi masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
Menurutnya, MAHA 2024 menampilkan kelainan menerusi program MAHA Go Global.
“Pameran perdagangan antarabangsa ini turut disertai 15 negara luar antaranya dari Amerika Syarikat, China dan Jepun. Pada masa yang sama, syarikat tempatan berpeluang memperkenalkan produk pertanian tempatan ke pasaran antarabangsa bagi menarik minat pelabur luar yang berpotensi serta membuka ruang perdagangan baharu.
“Saya berharap potensi pelaburan dalam sektor pertanian Malaysia dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan memudah cara dan menyediakan platform serta luang perniagaan yang kondusif kepada pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, MAHA 2024 juga menjadi medan untuk memperkenalkan teknologi pintar seperti internet benda (IoT), kecerdasan buatan (AI), dan automasi dalam pertanian, yang dijangka dapat meningkatkan produktiviti dan efisiensi sektor ini.-Harian Metro Online