Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Bermula esok, kerajaan negeri memberi inisiatif khas parkir percuma kepada pelancong dan pengunjung di negeri ini membabitkan semua 34,764 petak letak kereta di empat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata inisiatif selama seminggu itu berakhir pada 20 September ini.null

Beliau berkata, tawaran parkir percuma itu membabitkan 14,876 petak di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), diikuti 5,000 petak di kawasan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), 3,500 petak di Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan 11,388 petak di Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).

“Inisiatif khas ini adalah bersempena Sambutan Hari Malaysia dan Maulidur Rasul, ditambah dengan musim cuti persekolahan selain kempen Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Tawaran itu juga adalah simbolik manifestasi penghargaan kerajaan negeri kepada pelancong dan pengunjung apabila sejak Januari hingga Julai lalu, Melaka merekodkan kedatangan lebih 8.7 juta pelancong dan pengunjung ke negeri bersejarah ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, Ab Rauf turut mengalu-alukan pelancong dan pengunjung ke negeri ini bagi merancakkan lagi TMM2024 ketika ini.

“Saya berharap inisiatif tawaran parkir percuma ini dapat memacu pertumbuhan ekonomi bagi sektor pelancongan negeri sempena TMM2024. Tiada tempat lain, Mana lagi? Melaka Ler,” katanya.-BH Online