Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEOUL: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan tidak sepatutnya timbul sebarang isu apabila kapal asing melalui perairan Laut China Selatan.

Ini kerana, katanya tindakan itu tidak semestinya dianggap cuba menceroboh berikutan Laut China Selatan adalah laluan bebas.

Malah, beliau berkata dalam klausa perundangan sesebuah negara, tiada isu yang timbul sekiranya sesebuah kapal itu hanya melalui perairan ditetapkan dan tidak berhenti.

Bagaimanapun Mohamed Khaled memberi jaminan pasukan keselamatan khususnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa memantau dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap sebarang aktiviti yang berlaku di laluan perkapalan melalui pengawasan dari laut, darat dan juga udara.

“Secara kebiasaannya memang banyak kapal-kapal yang lalu dan kita tahu tujuan serta jenis kapal berkenaan berdasarkan sistem radar kita, melainkan kalau sesebuah kapal itu bukan kapal komersial atau kapal tentera.

“Sekiranya ada kapal mencurigakan, apabila kita tanya dia gagal berikan butiran untuk pengesahan maka kita akan hantar pasukan untuk periksa.

“Kalau kita rasa ada pencerobohan perairan, kita akan ambil tindakan selaras amalan antarabangsa iaitu menghantar nota bantahan selepas kita merasakan adanya pencerobohan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri persidangan Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2024, di Seoul, hari ini.

Mohamed Khaled berkata, atas faktor laluan bebas, maka kapal dari mana-mana negara termasuk China dikesan di perairan berkenaan.

Namun, beliau berkata seandainya ada apa-apa di luar daripada sebarang situasi normal berlaku, maka kerajaan tidak akan teragak-agak untuk bertindak.

Laluan perairan di kawasan Laut China Selatan dan Selat Melaka banyak digunakan kapal komersial, kapal perdagangan dan kapal rondaan.-BH Online