KUALA LUMPUR: Isu berkaitan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) akan dibawa ke Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata perkara itu akan dibawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memutuskan persoalan berkaitan akidah.
Beliau berkata, jawatankuasa khas juga akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dan kajian terperinci terhadap doktrin fahaman kumpulan GISBH bagi proses pembanterasan hingga akar umbi dan ajaran menyeleweng.
Katanya, jawatankuasa itu akan diselia Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menjalankan fungsi membantu memberi sokongan data dan kajian kepada pihak berkuasa, termasuk Jawatankuasa Muzakarah MKI.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan membantu menyediakan rumah perlindungan kepada kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dalam Op Global, selain memberi khidmat runding cara serta kaunseling kepada mangsa.
“JAKIM juga diarah memberi kerjasama penuh untuk membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong tindakan reman ke atas 171 individu ditahan dalam Op Global, baru-baru ini.
“Kita tidak akan berkompromi dengan isu berkaitan akidah umat Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, BH melaporkan, kanak-kanak di rumah amal dikaitkan dengan GISBH diasingkan daripada ibu bapa mereka sejak usia setahun.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilapor berkata hasil risikan mendapati keseluruhan kanak-kanak itu menjalani proses tumbesaran sepenuhnya dalam rumah amal dikaitkan dengan GISBH.
Selain itu, 13 kanak-kanak yang menjadi penghuni rumah perlindungan yang diserbu PDRM, disyaki diliwat.
Dalam Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi kelmarin, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.-BH Online