Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Invest Malaysia 2024 (IM2024) di Hong Kong yang dianjurkan Bursa Malaysia Bhd sebagai sebahagian daripada siri Invest Malaysia bagi tahun ini, memberi tumpuan kepada peluang pelaburan yang tersedia di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS).

IM2024 di Hong Kong itu juga mewakili bandar kewangan ketiga utama dalam sesi pembabitan Bursa Malaysia dengan pelabur ekuiti di seluruh rantau ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz merasmikan acara itu dan menyampaikan ucaptama yang memfokuskan kepada dasar pembaharuan perindustrian Malaysia yang berpusat di sekitar Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).

Tengku Zafrul juga membuat rujukan khusus kepada NSS untuk mempertajam kelebihan daya saing sektor itu dan GIS bagi menarik pelaburan bertemakan kemampanan dalam memacu pertumbuhan berdaya tahan negara, menurut Bursa Malaysia dalam satu kenyataan.

Dalam ucapannya, Tengku Zafrul berkata, menerusi NSS, Malaysia sedang membina kekuatannya dalam proses ‘back-end’ dan komponen Pemasangan dan Pengujian Penyumberan Luar (OSAT) rantaian nilai industri global, untuk maju ke arah aktiviti nilai yang lebih tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan termaju dan pembuatan peralatan.

“MITI memahami bahawa pelabur, sama ada dalam industri atau dalam pasaran saham kami, mencari dua kriteria utama iaitu kejelasan dasar dan kekuatan pelaksanaan dasar berkenaan. 

“Usaha kami dalam kedua-dua bidang nampaknya telah membuahkan hasil, berdasarkan peningkatan 18 peratus dalam pelaburan yang diluluskan untuk separuh pertama 2024, dan kenaikan 12.7 peratus dalam pasaran ekuiti kami pada tahun lalu. 

“Bersama asas ekonomi kami yang kukuh, Malaysia pantas menjadi destinasi serantau pilihan untuk pelaburan berkualiti tinggi di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI,” katanya.

FBM KLCI telah meningkat 12.7 peratus setakat 11 September 2024 dan dijangka berkembang lebih jauh di sebalik petunjuk makroekonomi Malaysia yang kukuh seperti pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) membanggakan, peningkatan menggalakkan dalam pelaburan dan eksport, serta mata wang yang berada pada paras tertinggi dalam 18 bulan.

Selepas menyampaikan ucaptama, Tengku Zafrul terbabit dalam sembang santai yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift.

Pada sesi itu, beliau berkongsi cara NSS berfungsi dalam pelan hala tuju tiga fasa untuk industri semikonduktor Malaysia meningkatkan rantaian nilai dalam dekad akan datang, ke arah mencapai sasaran utama.

Sasaran itu termasukmenarik pelaburan bernilai RM500 bilion, menubuhkan 10 syarikat Malaysia dalam reka bentuk dan pembungkusan termaju, membangunkan Malaysia sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) global bagi semikonduktor, serta melatih dan meningkatkan kemahiran 60,000 jurutera berkemahiran tinggi Malaysia.

Tengku Zafrul juga menghuraikan peranan MITI dalam menyokong pelaksanaan GIS ke arah merealisasikan sasaran sifar bersih Malaysia menjelang 2050, seperti yang digariskan oleh NIMP 2030 dan NETR.-BH Online