Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar melakukan kajian dan menyediakan laporan lengkap berhubung isu pensijilan halal.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri mahu hasil kajian dan laporan lengkap berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal untuk setiap premis makanan itu dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

“Perdana Menteri sudah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk menyediakan laporan, apakah langkah seterusnya untuk dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.

“Jadi, kita akan tunggu hasil laporan dan kajian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang akan dibentangkan minggu depan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.

Isu pensijilan halal menjadi polemik selepas media sebelum ini melaporkan, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Beliau dipetik mendakwa, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan untuk memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.

Ia susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, bahawa JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran serta syarikat makanan untuk memiliki sijil halal.

Ditanya sama ada cadangan itu ada dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri sebelum diumumkan kepada orang ramai, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menjelaskan, isu berkaitan sijil halal ada dibincangkan dari semasa ke semasa.

“Isu pensijilan halal memang dari semasa ke semasa dibincangkan terutama dari segi pelaksanaan tetapi dari segi dasar, kita perlu tunggu pembentangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) minggu depan,” katanya.-Harian Metro Online