Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Putrajaya: Sebarang isu berbangkit membabitkan Laut China Selatan perlu dikendalikan melalui saluran diplomatik, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau bagaimanapun berkata, isu membabitkan kehadiran kapal tentera China di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia tidak dibincangkan secara khusus pada mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

“Kita tidak membincangkan perkara itu secara khusus tetapi sebarang isu berbangkit akan diurus menggunakan saluran diplomatik,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Kementerian Luar sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan kehadiran kapal peninjau tentera China dan Pengawal Pantai China yang berlegar di perairan EEZ Malaysia berdekatan Sarawak.

Isu kehadiran kapal perang tentera laut China itu tercetus selepas ia tular di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Ditanya sama ada Malaysia akan membawa isu Laut China Selatan pada persidangan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Fahmi berkata, perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri.

Katanya, agenda khusus untuk dibawa ke UNGA tidak bincangkan kerana Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Menteri Luar akan mewakili Perdana Menteri dan kerajaan ke UNGA tahun ini bersama satu atau dua orang menteri lagi tetapi agenda khusus tidak dibincangkan hari ini, malah Menteri Luar tak hadir mesyuarat hari ini.

“Jadi kita perlu tunggu sebelum UNGA, sebelum Menteri Luar berangkat ke UNGA,” katanya.-Harian Metro Online