Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHANGHAI: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha dijalankan Malaysia dan China ke arah penubuhan hab perubatan halal seharusnya disambut baik semua pihak.

Ini kerana, katanya usaha sedemikian bakal memberi manfaat yang cukup besar kepada pelbagai lapisan masyarakat di kedua-dua negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), ChemPartner Pharmatech Co Ltd dan sebuah syarikat tempatan, Pharma Medical Sdn Bhd di sini, hari ini.

Pada majlis itu, ChemPartner Pharmatech Co Ltd diwakili Pengerusi ChemPartners, Woo Swee Lian dan Pharma Medical Sdn Bhd pula diwakili pengasas syarikat, Datuk Eric Yong Chong Long JP.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UKM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi UKM, Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid ketika bercakap kepada media Malaysia berkata, kerajaan menyokong usaha sama oleh syarikat asing khususnya dari China yang mahu berkolaborasi dengan syarikat serta institusi pendidikan tempatan dalam menghasilkan ubatan dan vaksin yang dapat menepati piawaian halal. 

Beliau berkata, usaha ini berupaya menghasilkan impak besar kepada perniagaan yang dijangka mampu diraih hasil permintaan tinggi dalam pasaran negara Islam serta global.

“Saya cadang mereka mendirikan kilang di Malaysia (untuk mengeluarkan ubatan dan vaksin halal)… bukan saja (untuk memenuhi) pasaran di negara Islam tapi seluruh dunia,” katanya.

Mengulas MoU itu, Ahmad Zahid berkata syarikat China ini diusahakan seorang ahli perniagaan dari Malaysia, sekali gus komitmen dijalin akan lebih mudah dijayakan serta dilaksanakan. 

“Syarikat ini dipunyai seorang ahli perniagaan dari Malaysia dan beliau sudah memulakan syarikat ini sejak 2022 dan paling membanggakan, beliau juga mengambil 180 penyelidik yang mempunyai doktor falsafah (PhD) dan 200 lebih yang mempunyai ijazah sarjana. 

“Syarikat ini merancang supaya dapatan penyelidikan dan pembangunan dari ubatannya dijadikan ubat yang dapat memenuhi piawaian halal,” katanya. 

Selain vaksin, Ahmad Zahid berkata, syarikat ini turut menghasilkan ubatan untuk merawat penyakit berkaitan tumor dan antibodi. 

“Antikanser dan rawatan kanser memang sudah dijalankan mereka dengan kajian begitu lama dibuat, selain ia sudah mula dipasarkan dan mendapat pengiktirafan daripada badan pengiktirafan di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu, UKM dalam kenyataan memaklumkan, gabungan kepakaran UKM, ChemPartner dan Pharma Medical Sdn Bhd berupaya memperkukuh kedudukan global serta meningkatkan keupayaan organisasi-organisasi ini dalam arena perubatan, farmaseutikal serta bioteknologi.

“Kerjasama ini bakal menjurus ke arah pembangunan fasiliti ilmu perubatan tercanggih di Malaysia yang memfokuskan kepada keberhasilan penyelidikan dan pengkomersialan inovasi perubatan dan bioteknologi. 

“Kerjasama turut membuka sebuah lembaran baharu buat UKM sebagai langkah menembusi pasaran global dalam bidang penyelidikan perubatan,” katanya. 

Tambahnya lagi, gabungan kekuatan ilmu perubatan tradisi China yang mempunyai sejarah lebih 5,000 tahun dengan kekayaan pengetahuan herba di Malaysia menghasilkan ruang penerokaan ilmu baharu yang bakal melonjak nama UKM sebagai peneraju sektor pendidikan yang berteraskan kesihatan di persada tempatan dan antarabangsa.-BH Online