Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEOUL (KOREA): Kedaulatan dan keselamatan sesebuah negara pada zaman berteknologi tinggi ini tidak semestinya bergantung kepada negara berkenaan semata-mata, namun memerlukan kerjasama antarabangsa.

Ini kerana faktor keselamatan dan keamanan masa kini berada dalam kawasan lebih besar dan bukan dalam lingkungan sesebuah negara itu sahaja.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata diplomasi pertahanan seperti perbincangan secara global dan rundingan semeja adalah kunci dalam memastikan keamanan dan keselamatan mana-mana negara ini terus terpelihara.

“Sebagai contoh penganjuran sesi Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2024, memberi ruang kepada mana-mana negara untuk mengetengahkan cabaran yang dihadapi mereka.

“Cabaran atau masalah serta risiko dihadapi akan dibawa ketengah untuk dibincangkan secara bersama berdasarkan pengalaman masing-masing.

“Di samping itu, pertemuan-pertemuan melalui setiap persidangan pertahanan yang dianjurkan juga berupaya memastikan diplomasi pertahanan dijayakan,” katanya selepas hari pertama sesi SDD 2024, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Korea Selatan, Han Duck Soo, berucap pada sesi dialog yang bermula hari ini dan disertai lapan menteri serta 900 delegasi dan perwakilan yang mewakili 64 negara.

Mohamed Khaled berkata, diplomasi pertahanan sememangnya satu pendekatan yang dibuat atau diamalkan dalam usaha menjaga keamanan serta memastikan sesebuah negara itu dihormati kawan dan juga lawan.

“Dalam soal untuk menjaga keamanan dan dalam soal untuk memastikan wujudnya kehormatan bagi mana-mana negara, hubungan dengan negara-negara bersahabat itu sangat penting.

“Bukan hanya akan membantu dalam keadaan situasi berkaitan keamanan, malah akan membantu apabila situasi terjadinya konflik dan perkara-perkara lain,” katanya.

Pada SDD 2024 itu, Mohamed Khaled turut berkesempatan mengadakan pertemuan dengan Menteri Negara (Hal Ehwal Pertahanan) Emiriah Arab Bersatu (UAE), Menteri Perolehan (Aset Ketenteraan Korea Selatan) dan Menteri Pertahanan.-BH Online