Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUNGAI BULOH: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang melaksanakan sebarang sekatan termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan cacar monyet (Mpox) di negara ini. 

Berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Institut Latihan KKM Sungai Buloh hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memberi jaminan itu biarpun maklum mengenai kaedah jangkitan Mpox.

Beliau berkata, pendekatan itu dibuat selepas mengambil kira tiada jangkitan Mpox direkodkan selepas menjalankan saringan ke atas 6.2 juta pengembara di semua pintu masuk negara, setakat ini.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat tidak boleh mengambil mudah jangkitan Mpox dan perlu sentiasa berwaspada terhadap sebarang kemungkinan.

“Kita sudah keluar daripada (fasa) pandemik COVID-19, tetapi saya diterjah dengan kemungkinan (jangkitan) Mpox. Saya kerap diasak supaya meningkatkan prosedur operasi standard (SOP).

“Insya-Allah, Mpox tidak menyebabkan PKP, namun saya juga mahu ingatkan supaya kita jangan terlalu selesa kerana kita tahu kaedah jangkitannya.

“Sehingga kini, kita masih belum merekodkan sebarang jangkitan daripada varian terkini Mpox, kecuali sembilan kes dalam varian lama, setakat November lalu,” katanya.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad; Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Dr Ummi Kalthom Shamsuddin dan Pengarah ILKKM Sungai Buloh, Robert Wong Kim Han.

Dr Dzulkefly pada sidang media berkata, KKM ketika ini sedang melaksanakan proses pemerolehan antiviral Mpox dengan golongan rentan akan diletakkan dalam senarai penerima utama.

“Kesiapsiagaan KKM membendung penularan Mpox berada di tahap terbaik. Justeru, orang ramai tidak perlu gusar dan cemas.

“Kita perlu wujudkan keseimbangan, tetapi jangan pernah ambil mudah mengenai penularan sebarang penyakit, sama ada berjangkit atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly mengesahkan, tiada pertindihan fungsi dan peranan dalam senarai badan berkanun seliaan KKM.

“Badan berkanun (KKM) tak banyak, kita ada beberapa agensi saja. Saya pasti tiada pertindihan, termasuk dari segi urus tadbir kerana semuanya memiliki peranan dan fungsi khusus.

“Namun, saya bersedia mengadakan program rasionalisasi dan penggabungan (sekiranya terdapat badan berkanun seliaan KKM memiliki pertindihan fungsi dan peranan),” katanya.-BH Online