Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLUANG: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan bekerjasama dengan kerajaan Johor bagi memastikan bekalan air, tenaga termasuk tenaga diperbaharui mencukupi untuk keperluan pelabur di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kedua-dua pihak kini bekerjasama erat untuk memastikan keterjaminan air, tenaga dan kelestarian alam sekitar, selain mampu dibiayai rakyat.

“Syabas kepada kerajaan Johor dan semua yang terbabit kerana perancangan ke hadapan untuk memastikan isu bekalan air di kawasan ini terjamin.

“Johor adalah antara tempat tumpuan pelabur khususnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan pusat data,” katanya pada sidang media di Loji Rawatan Air (LRA) Kahang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Fadillah berkata, Empangan Kahang yang mula beroperasi April lalu, mampu memanfaatkan 21,000 akaun pengguna air di sekitar Kahang. 

Beliau berkata, LRA itu dapat menyelesaikan isu bekalan air di daerah Kluang dan kawasan berdekatan.

“LRA ini menerima lesen pada April lalu dan sudah mula beroperasi,” katanya.

Fadillah berkata, LRA Kahang mampu meningkatkan rizab air sebanyak 20 peratus di kawasan itu dan bersedia ke fasa kedua sekiranya berlaku pertambahan permintaan.-BH Online