Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLUANG: Sebanyak 420,000 hektar `balak’ pokok getah yang tidak boleh lagi ditoreh atau getah matang wajar ditebang kerana ia mampu menjana pendapatan untuk peneroka atau pekebun Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sehingga RM2 bilion dalam tempon 10 tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata berdasarkan unjuran, penerbangan pokok getah itu akan dilakukan secara berfasa membabitkan 42 hektar setahun.

Beliau yang juga yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata melalui kaedah itu, peneroka atau pekebun RISDA mampu menjana pendapatan sebanyak RM200 juta setahun.

“Kita dapati terdapat 420,000 hektar kebun getah tidak boleh dijalankan untuk penorehan dan juga merupakan getah matang ataupun getah lama.

“Jadi, saya sudah beritahu kepada Pengurus Besar RISDA supaya kita mesti menebang pokok ini untuk dijadikan bahan kayu serta bahan perabot.

“Tetapi, jangan dijual barangan daripada bahan itu tanpa melakukan ‘downstream’ (hiliran) terlebih dahulu,” katanya ketika merasmikan Karnival Risda Madani (Karisma) Zon Selatan 2024 di Dataran Uptown Kluang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Datuk Onn Hafi Ghazi; Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib dan Pengurus Besar RISDA, Zainal Azni Zulkifli.

Ahmad Zahid berkata balak pokok getah yang ditebang bagi penanaman pokok baru boleh dijadikan ‘timber’ bagi menjana pendapatan sampingan.

“Timber atau bahan kayu ini boleh dijadikan bahan membuat perabot yang boleh dijual sebelum proses treatment (tanam semula) dilakukan,” katanya.

Ahmad Zahid turut berharap industri getah di negara ini memperkenalkan mekanisma baharu bagi melonjakkan prestasi eksport dan bukan terus bergantung kaedah konvensional.

Ini kerana, katanya kedudukan eksport getah negara telah jatuh ke tempat kelapan tahun ini berbanding kedudukan pertama pada tahun-tahun sebelumnya.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebelum ini berkata sebanyak 420,000 hektar ladang pekebun kecil yang boleh menghasilkan 585,000 metrik tan susu getah setahun dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM2.3 billion tidak ditoreh.

Keadaan itu, katanya, berlaku akibat kekurangan pekerja untuk melaksanakan kerja-kerja menoreh.-BH Online