Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGKOK: Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn, melantik Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra dan 35 menteri Kabinet hari ini menandakan bermulanya kerajaan baru selepas tercetusnya pergolakan politik baru-baru ini. 

Paetongtarn, 38, adalah ketua parti pemerintah Pheu Thai, dipilih oleh Parlimen bulan lalu untuk menjadi Perdana Menteri Thailand yang termuda selepas pemimpin sebelum ini, Srettha Thavisin, dipecat atas perintah mahkamah kerana pelanggaran etika.

Kabinet baharu Thailand disahkan secara rasmi oleh Raja pada Rabu lalu terdiri daripada 17 anggota dari Pheu Thai, termasuk Perdana Menteri manakala 19 jawatan lagi dibahagikan antara parti politik lain. 

Paetongtarn dan menteri Kabinetnya mengangkat sumpah taat setia di hadapan Raja Vajiralongkorn dan Ratu Suthida dalam satu majlis di Istana Dusit, Bangkok. 

Raja bertitah supaya Kabinet yang dilantik mendapat dorongan dan tekad untuk melaksanakan tugas seperti yang dinyatakan ketika angkat sumpah iaitu demi kebaikan negara dan rakyat. 

Anak perempuan bongsu kepada bekas Perdana Menteri yang kontroversial, Thaksin Shinawatra, itu tidak pernah berkhidmat dalam kerajaan sebelum ini dan akan menghadapi cabaran dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi yang sedang merosot. 

Beliau juga adalah wanita kedua dan ahli keempat keluarga Shinawatra yang memegang jawatan tertinggi yang dipilih di Thailand, dengan tiga Perdana Menteri sebelumnya digulingkan melalui rampasan kuasa atau keputusan mahkamah Kerajaan.

Paetongtarn akan membentangkan kenyataan dasar mereka kepada Parlimen antara Khamis dan Jumaat depan, menandakan permulaan rasmi pentadbirannya. – REUTERS