Bangi: Cadangan untuk meletakkan rokok di seksyen tidak halal susulan barang itu pernah difatwakan haram sejak 1995 akan dibincangkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, pihaknya akan berbincang bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali mengenai perkara itu.
“Daripada perspektif kita ialah bahagian fatwa itu (pengharaman rokok).
“Jadi, sejauh mana nak menentukan (rokok) itu duduk di seksyen halal atau tidak, yang itu di bawah kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Jadi, saya akan cuba bincang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini, hari ini.
Rokok difatwakan haram sejak 1995 manakala Vape dan rokok elektrik difatwakan haram sejak 2015.
Memetik laporan perubatan, penggunaan tembakau adalah salah satu ancaman kesihatan awam terbesar yang pernah dihadapi dunia dengan statistik menunjukkan tabiat itu membunuh lebih daripada lapan juta penduduk dunia saban tahun.
Di Malaysia, terdapat 4.8 juta perokok dan dianggarkan lebih daripada 27,200 kematian rakyat negara ini setiap tahun berkaitan dengan tabiat merokok.
Terdahulu dalam majlis itu, Mohd Na’im mengumumkan pihaknya bersetuju untuk meneruskan program SPH dengan peruntukan RM1.5 juta.
Katanya, pada tahun ini, seramai 82 orang pelajar akan menerima SPH terdiri daripada seorang pelajar di Sarjana dan 60 orang lagi pelajar di peringkat Sarjana Muda Universiti Awam (UA) dalam negara.
Beliau berkata, tajaan sama juga diberikan kepada seramai 19 pelajar peringkat Sarjana Muda UA luar negara serta dua penerima Anugerah Perdana Menteri Darul Quran sempena Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran 2023.
Menurutnya, seramai 1,406 pelajar telah menerima SPH sejak pelaksanaannya pada tahun 2012.-Harian Metro Online