Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kota Tinggi: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian perlu dibentangkan secepat mungkin.

Katanya, ia bagi membolehkan tindakan cepat dapat diambil sekiranya berlaku penyalahgunaan gambar kanak-kanak tanpa kebenaran di media sosial.

Selain itu, ia mampu membendung tindakan jenayah dalam talian yang menggunakan Kecerdasan Buatan (AI).

“Bagi pihak kami di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, kewujudan Akta Jenayah Dalam Talian perlu dibentangkan secepat mungkin yang saya sebut pada sesi Oktober ini dalam situasi sedemikian.

“Ia untuk memberi maklumat, contohnya kalau ada keluarga yang tidak puas hati, mereka boleh lapor dan turunkan gambar, pakar cakap dua tiga hari pun benda itu akan tersebar berjuta-juta. Kalau kita tengok sebelum keluar surat khabar (di media sosial) sudah 10 juta penonton, selepas itu 20 juta penonton. 

“Kita mahu penyedia platform boleh beri data khusus yang mana paling ramai tonton, mungkin dari luar negara, orang macam mana yang tengok (gambar atau video berkaitan kanak-kanak), kita takut mungkin ada gerakan jenayah.

“Sebab itu bukan hanya gambar (kanak-kanak) tidak minta kebenaran ibu bapa tetapi lebih dari itu, sebab jenayah dalam talian ini macam-macam boleh berlaku.

“Saya minta ibu bapa ambil tahu mengenai gambar anak mereka, kadang ibu bapa tidak tahu ada orang ambil gambar anak mereka ketika ibu bapa bekerja,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR) Felda Sungai Mas di sini, hari ini.

Perasmian disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. 

Dalam masa sama, Azalina menzahirkan penghargaan terhadap netizen yang menyalurkan maklumat berhubung insiden itu kepada pihak berkuasa, berkaitan tindakan pemandu bas yang menyiarkan video kanak-kanak bas menerusi akaun TikTok miliknya.

“Teguran dan laporan daripada netizen berhubung kejadian ini adalah tindakan yang baik.

“Rakyat memantau, rakyat memberi maklumat dan rakyat juga menjadi mata dan telinga. Kalau masyarakat kita ramai melihat biar ramai komen dan memberi teguran, beri maklumat supaya kita boleh cari mereka. Satu pendekatan yang baik saya ucap terima kasih pada netizen kerana beri maklumat.

“Saya nak nasihatkan ibu bapa berhati-hati, tidak kira anak lelaki atau perempuan, jangan bagi gambar kepada sesiapa, boleh dimanipulasikan AI. Budak kecil memang comel, semua orang suka tetapi ada orang mempunyai masalah mental atau pedofilia,” katanya. 

Terdahulu, seorang pemandu bas ditahan polis di Simpang Renggam, Kluang kerana memaparkan video kanak-kanak di dalam bas ke akaun media sosial miliknya.

Sebelum itu, tular di TikTok pemandu bas berkenaan yang menggelar murid sekolah rendah di tempat duduk hadapan bas sebagai orang yang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.-Harian Metro Online