Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang sedang dirangka ketika ini dijangka akan mengambil masa selama enam bulan untuk disiapkan iaitu siap sepenuhnya pada Mei tahun hadapan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata dokumen penting bagi perancangan ekonomi negara itu dijadualkan dibentang di Dewan Rakyat pada Julai tahun depan selepas mendapat kelulusan kabinet.

“Jadi dari segi semakan dan sebagainya draf pertama itu perlu berlaku dalam enam bulan kerana selepas draf pertama perlu melalui beberapa proses saringan dan mendapat kelulusan di peringkat kerajaan.

“Tempoh masa diluluskan oleh kerajaan untuk dibawa ke Parlimen dalam tempoh dua bulan,” katanya pada sidang medianya selepas menghadiri Persidangan Permulaan RMK13.

Menurut Rafizi, di dalam RMK13 kerajaan sudah semestinya akan mengimbangi keperluan semua orang dalam masyarakat.

Katanya, antaranya keperluan Bumiputera sudah tentu akan tueut dimasukkan di dalam penggubalan RMK13.

“Sama ada bentuk sektor atau kemahiran, perkara khusus yang akan kita tumpu RMK13 sudah tentu perlu mengimbangi keperluan semua orang dalam masyarakat.

“Dari segi keperluan Bumiputera dan dokumen lain sudah tentu bila bangunkan RMK13 perlu dijajarkan mengambil kira beberapa keputusan penting dibuat kerajaan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu Rafizi berkata Kementerian Ekonomi turut akan menganjurkan satu jelajah yang dinamakan Madani Mendengar.

Beliau berkata program jelajah itu akan membabitkan sesi libat urus dengan kerajaan-kerajaan negeri bermula hujung bulan ini.

“Saya sendiri akan turun dalam Madani Mendengar. Kita kena perlu dengar kerana di peringkat atas kita nampak segala masalah struktur besar yang perlu dihadapi negara-negara dan masyarakat.

“Tetapi dibawah itu sebenarnya dia tidak nampak kekangan-kekangan dan cabaran-cabaran (dihadapi kerajaan).

“Jadi Jelajah Madani Mendengar ini membolehkan kerajaan memberi pencerahan mengenai gambaran sepenuhnya keadaan negara,” katanya.