Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Port Dickson: Seramai 31 nelayan di Telok Kemang, Port Dickson di sini, yang terkesan ekoran projek pembangunan hotel terkemuka menerima pampasan masing-masing RM3,000 untuk tiga bulan pertama.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek berkenaan bermula sejak Jun lalu dan pampasan bulanan sebanyak RM1,000 turut akan diberikan secara terus kepada penerima melalui Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang (PNKTK) selepas ini.

“Bayaran ini berterusan hingga 12 tahun bagi memastikan nelayan terbabit tidak terjejas dari segi hasil pendapatan. 

“Seramai 20 pemilik bot dan 11 awak-awak yang juga nelayan kapal tradisional menerima pampasan itu,” katanya selepas program penyerahan pampasan kepada nelayan Telok Kemang di sini, semalam.

Beliau berkata, lokasi yang terbabit dalam pembangunan itu membabitkan sebahagian dari kawasan penangkapan hasil laut oleh PNKTK yang berpangkalan di Pengkalan Telok Pelandok di sini.. 

“Projek pembangunan hotel itu akan berjalan selama lima tahun bermula 2024 hingga 2029 dengan nilai pembangunan sebanyak RM1.6 bilion.

Projek itu membabitkan komponen binaan bilik penginapan sebanyak 1,710 unit iaitu 910 unit atas laut dan 800 suite kolam bertingkat.

Aminuddin berkata, terdapat 611 nelayan berdaftar di Port Dickson dengan jumlah tangkapan 187 metrik tan bernilai RM 3.1 juta dan nelayan di Pengkalan Nelayan Telok Pelandok menyumbang enam peratus hasil tangkapan keseluruhan di Port Dickson.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata pihaknya melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri telah meluluskan belanjawan 2025 yang dijangka dibentangkan hujung tahun ini.

Beliau berkata, hasil keputusan itu daripada pemukiman bengkel konsultasi belanjawan 2025 yang diadakan di Putrajaya pada Ogos lepas dan dipersetujui semua ahli Exco pada mesyuarat semalam.

“Kita meluluskan bajet di peringkat MMK, setelah berbincang dan diharmonikan beberapa perkara serta dibentangkan semula kepada mesyuarat Exco terdapat sedikit perubahan yang dibuat namun semuanya dalam keadaan baik,” katanya.-Harian Metro Online