KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Negeri (KLN) akan menjalankan siasatan dalaman dan membuat laporan polis susulan kebocoran maklumat Nota Diplomatik daripada Kementerian Luar Negeri Republik Rakyat China yang dialamatkan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada 18 Februari lalu.nullnull
KLN dalam kenyataan, berkata pihaknya merujuk kepada satu artikel yang diterbitkan oleh sebuah portal media Filipina bertarikh 29 Ogos lalu berhubung nota diplomatik berkenaan.
Katanya, kementerian itu memandang serius isu kebocoran dokumen terbabit yang juga saluran perhubungan rasmi antara dua negara kepada pihak umum.
“Dalam konteks ini, KLN sedang menjalankan siasatan dalaman mengenai kebocoran maklumat terperingkat ini.
“KLN juga akan membuat laporan polis supaya siasatan turut dapat dibuat oleh pihak berkuasa itu dengan segera,” katanya.
Katanya, Malaysia dan Republik Rakyat China mempunyai hubungan dua hala dan kerjasama yang sangat akrab dan aktif.
“Kedua-dua negara adalah Rakan Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partners) dan sentiasa mengambil inisiatif-inisiatif baharu yang berpotensi memantapkan perkongsian ini ke tahap yang lebih tinggi.
“Berkenaan isu Laut China Selatan, kedua negara sudah menzahirkan iltizam dan komitmen bagi menyelesaikan sebarang isu secara aman menerusi konsultasi dan dialog dengan menggunakan platform sedia ada dan juga melalui saluran diplomatik, tanpa pertelingkahan atau kekerasan.
“Pada masa sama, pendirian Malaysia terhadap isu Laut China Selatan tidak pernah berganjak,” katanya.
Menurut KLN, Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak-hak kedaulatan serta kepentingannya di kawasan maritim negara berdasarkan kepada Peta Malaysia 1979.
“Pendekatan Malaysia ini adalah selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Convention on the Law of the Sea- UNCLOS) 1982.
“Bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai lautan yang aman, stabil serta selamat bagi kelangsungan perdagangan, Malaysia akan terus mengutamakan pendekatan diplomatik dalam urusannya bersama negara lain, termasuk China.
“Ini selaras dengan peruntukan-peruntukan yang termaktub di dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC) yang menekankan penyelesaian kepada pertelingkahan secara aman, tanpa ancaman atau kekerasan,” katanya.
Tambahnya, Malaysia kekal komited dalam rundingan antara negara ASEAN dan China bagi memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang substantif dan efektif dan selaras dengan peruntukan UNCLOS 1982.
“Mulai Ogos 2024, Malaysia dan Republik Rakyat China adalah pengerusi bersama selama tiga tahun bagi mesyuarat Asean dan China berkaitan pelaksanaan DOC dan rundingan bagi memuktamadkan COC,” katanya.-BH Online