PUTRAJAYA: Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kebebasan bersuara disekat di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan adalah tidak benar.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata bekas Perdana Menteri itu masih boleh bersuara mengeluarkan kenyataan dan bebas bergerak menghadiri mana-mana acara.
“Kasihan Dr Mahathir, dia masih bebas bergerak, masih bebas untuk hadir, masih bebas untuk keluarkan kenyataan, jauh seperti langit dengan bumi zaman pentadbiran sekarang dengan zaman pentadbiran dia.
“Waktu itu saya masih ingat akhbar ditutup, orang yang berdemonstrasi di jalan raya dipukul , ditangkap, ditendang, dipenjara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dr Mahathir pada minggu lalu mengkritik kerajaan dengan mendakwa bahawa negara kini kekurangan kebebasan bersuara.
Malah, beliau mendakwa polis tidak bertindak apabila ada orang disimbah asid dan dipukul.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, bukan tempatnya untuk menasihati bekas Perdana Menteri terbabit namun perbezaan antara zaman pentadbiran Dr Mahathir dan kerajaan hari ini amat berbeza.
“Cuba lihat balik zaman pentadbiran Dr Mahathir dahulu, di mana seorang Timbalan Perdana Menteri dilucutkan jawatan dan kemudian diheret sama ada ke mahkamah ataupun dipukul dalam tahanan.
“Begitu ramai yang berdemonstrasi di jalan raya diperlakukan. Itu semua berlaku zaman Dr Mahathir, bukan zaman sekarang,” katanya.-BH Online