Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jumlah peruntukan tidak dinyatakan memandangkan terma bagi draf memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada pembangkang belum dipersetujui Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Fadillah Yusof. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, jumlah berkenaan sebaliknya hanya akan diumumkan selepas keseluruhan terma yang terkandung dalam MoU itu dipersetujui kedua-dua pihak.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air juga menegaskan keseluruhan perbincangan perlu diadakan melalui saluran rundingan, sebaliknya bukan menerusi media atau perbincangan terbuka. 

Beliau dalam nada tegas juga memaklumkan tidak akan mendedahkan sebarang perincian mengenai terma lain dalam MoU berkenaan, selain menegaskan tiada had masa ditetapkan bagi proses rundingan bersama gabungan itu.

“Bila berunding, pertama sekali kita akan kemukakan draf dan tak payah pergi ke media. Beri maklum balas kepada draf berkenaan… kita bincang hingga ia dimuktamadkan, sebelum dipaparkan kepada media. 

“Tidaklah sampai ke tahap rundingan tertutup, tetapi kalau (PN) mahu berunding secara terbuka, kita boleh buat perbahasan, (tetapi nanti akan) jadi perbahasan pula,” katanya selepas merasmikan Malaysian Law Students Legal Aid Convention, hari ini. 

BH semalam melaporkan PN sudah menerima draf MoU berkaitan peruntukan kepada pembangkang yang meletakkan tujuh syarat untuk dipatuhi, daripada kerajaan pada 6 Ogos lalu. 

Antaranya membabitkan pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15 serta perkara berkaitan bangsa, agama dan Raja (3R). 

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata MoU itu ada menyatakan obligasi kerajaan dan pembangkang, namun tidak memperincikan jumlah peruntukan kepada Ahli Parlimen gabungan berkenaan. 

PN kata MoU pelik sedikit, ini jawapan Fadillah

Ditanya kenyataan PN yang menyifatkan MoU itu ‘pelik sedikit’, Fadillah berkata, draf berkenaan dihasilkan bagi mewujudkan keharmonian dan kestabilan politik, sekali gus mengehadkan pembangkang daripada berterusan menyatakan mahu menggulingkan kerajaan sedia ada. 

Setiausaha Agung Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu juga berkata, antara objektif MoU itu dibuat bertujuan mempamerkan kedudukan kerajaan yang stabil di persada dunia, sekali gus mampu menarik lebih banyak pelaburan yang akhirnya akan mengukuhkan kedudukan ekonomi negara. 

“Misal kata, dia (PN) menyatakan rasa janggal (mengenai keperluan) mengapa nak sokong kerajaan ini. Apa yang kita mahu nyatakan (melalui MoU terbabit) ialah kita mahu supaya tiada lagi kita nak bercakap pasal menjatuhkan kerajaan. 

“Sebab, lebih utama untuk negara ketika ini ialah (mewujudkan) kestabilan. Jadi janganlah kita bercakap mengenai mahu menjatuhkan kerajaan. Kerajaan sedia ada sudah mendapat sokongan dua pertiga yang dibuktikan di Parlimen. 

“Sekarang ini kita kena hantar mesej kepada dunia yang kerajaan Malaysia adalah stabil, apabila stabil pelabur (akan) datang (dan ia) baik untuk ekonomi serta rakyat,” kata Ahli Parlimen Petra Jaya itu.-BH Online