Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BAGAN DATUK: Syarikat perladangan di negara ini diminta bersedia memulangkan 20 peratus tanah dipajak kepada kerajaan negeri agar dapat dibangunkan untuk manfaat rakyat.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan melalui Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang meneliti cadangan supaya mana-mana ladang yang tempoh pajakannya hampir tamat boleh diberikan pelanjutan dengan syarat menyerahkan 20 peratus keluasan tanah diusahakan mereka kepada kerajaan negeri.

Timbalan Perdana Menteri berkata pengurusan ladang sudah lama mendapat keuntungan iaitu sejak zaman penjajahan Inggeris hasil pajakan tanah yang lazimnya selama 99 tahun.

“Dalam keadaan ini jangan disalah anggap bahawa kerajaan memaksa dan sebagainya. 

“Tetapi lihatlah 99 tahun. Ketika itu tidak ada seorang pun di sini yang lahir 99 tahun yang lalu kecuali seorang aje yang pernah memerintah kita 22 tahun, hidup lagi. 

“Saya tidak berhajat menyentuh siapa-siapa tetapi dalam keadaan yang begini, cukuplah mereka dapat keuntungan begitu panjang,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Jalan Utama dari Parit 1 hingga Parit 10 Kampung Sungai Pergam, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juag Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perbincangan bersama kerajaan negeri dan syarikat perladangan akan dilaksanakan secara berterusan supaya perkara itu tidak disalah tafsir.

“Jadi saya arahkan (syarikat perladangan), jangan buat pengambilan tanah atau pun meminta tanah orang kampung.

Orang kampung jangan hanya dipaksa untuk melihat keuntungan itu dibawa ke luar.

“etapi mesti dikembalikan kepada kerajaan negeri untuk kerajaan negeri beri pada orang kampung. Beri pada rakyat yang marhaen.

“Inilah kerajaan yang ada pada hemat saya, memang adil untuk melakukan sesuatu yang baik,” katanya.

Ditanya selepas itu berhubung respons pemilik ladang terhadap cadangan berkenaan, Ahmad Zahid berkata setakat ini tanah seluas 50 ekar di Bandar Malaysia sudah didedikasikan sebagai tanah rizab Melayu.

“Itu adalah tanah komersial yang berada di lokasi amat strategik. Ini adalah komitmen sudah diperlihatkan.

“Bagaimanapun kita berjanji untuk melakukan penelitian sebelum pelaksanaan sepenuhnya dilakukan,” katanya.-BH Online