Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pihak berkuasa akan melakukan siasatan lanjut berhubung dakwaan beliau memperdaya Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika proses pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan Jabatan Peguam Negara wajar menyiasat tuduhan ke atas dirinya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

“Saya harap pihak berwajib, polis, RoS atau AG sendiri boleh lakukan siasatan kerana ada 10 daripada Ahli Parlimen yang tandatangan akuan bersumpah (SD) (kepada Perikatan Nasional, PN).

“Namun, mereka turut menandatangani dokumen kuasa untuk membentuk kerajaan diberikan kepada Pengerusi BN, selain kerusi dimenangi bukan hak peribadi.

“Sebaliknya, ia hak BN menerusi tiga perkara utama ditandatangani (setiap calon mewakili gabungan berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15) dan mereka tidak berada dalam sebarang tekanan ketika itu.

“Malah, kita ada rakaman video (ketika semua dokumen berkenaan ditandatangani). Justeru, saya terbuka untuk siasatan lanjut dilakukan pihak berwajib,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Parti Progresif Rakyat (myPPP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan pemangku Presiden myPPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan.

Beliau mengulas laporan polis dikemukakan PN, mendakwa tindakan Ahmad Zahid berunsur tipu helah atau memperdaya Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 ketika mengemukakan SD bagi membentuk Kerajaan Persekutuan pada November 2022.

Jumaat lalu, Pengarah Pilihan Raya Pemuda PN, Akmal Zahin Zainal Zahir, dilapor berkata Ahmad Zahid mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-16 mengenai SD 30 Ahli Parlimen BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Akmal Zahin juga mendakwa, tindakan itu dibuat biarpun Dewan Tertinggi BN ketika itu kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, permohonan myPPP untuk kembali menjadi parti komponen BN akan dibawa ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang.

Katanya, permohonan itu akan dipertimbang dengan mengambil kira rayuan dibuat myPPP selepas RoS mengiktiraf keabsahan Majlis Tertinggi parti itu, pada 11 April 2023, selepas pergolakan kepemimpinan utamanya.

“Kita akan bawa rayuan dibuat kepimpinan (myPPP) untuk melihat keputusan pimpinan terdahulu yang mengumumkan keluar dari BN, tanpa ada persetujuan kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

“Dewan Tertinggi BN akan meneliti semula perkara ini, bukan saha rayuan (myPPP) tetapi (termasuk) keputusan mahkamah terhadap keabsahan myPPP dengan keputusan adalah tertakluk kepada Perlembagaan yang memerlukan ia dibuat secara sebulat suara.

“Jadi, kita minta waktu sehingga Mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan datang. Kita yakin semua presiden dan wakil parti yang menganggotai BN akan simpati dengan keputusan mahkamah serta rayuan myPPP,” katanya.-BH Online