Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 1 September – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan Malaysia akan bertanding bagi kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) penggal 2025 hingga 2029.

KPM dalam satu kenyataan berkata, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek selaku Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) akan mengumumkan secara rasmi mengenai pencalonan Malaysia sewaktu mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO Xing Qu di Paris, Perancis.

Fadhlina akan mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 di Ibu Pejabat UNESCO di Paris, Perancis bermula esok hingga 4 September.

“Malaysia bersedia untuk bersaing mendapatkan kedudukan dalam Lembaga Eksekutif UNESCO bagi membawa misi pertumbuhan nasional yang inklusif, melindungi alam sekitar, dan mempromosikan keadilan sosial, bersandarkan kepada prinsip Membina Masa Depan Yang Berbeza (BFD),” menurut kenyataan KPM.

Menurut KPM, Malaysia beriltizam melaksanakan beberapa langkah penting bagi merealisasikan objektif BFD melalui kompetensi UNESCO dalam bidang seperti pendidikan, sains semula jadi, sains dan sains sosial, kebudayaan dan inisiatif kerjasama dengan semua pihak

“Tindakan strategik ini dapat memberi sumbangan signifikan kepada impak kelestarian, inklusiviti, mencipta peluang, dan keamanan global,” kata kenyataan itu.

Mengenai Minggu Pembelajaran Digital 2024, KPM berkata penyertaan Malaysia adalah bertepatan dengan hala tuju pendidikan negara yang memfokuskan kepada tranformasi pendidikan digital.-Berita RTM