KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mempertimbangkan pampasan kepada keluarga mangsa yang hilang dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India di sini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata bagaimanapun perkara itu akan dibincangkan dalam masa terdekat.
Ditanya berhubung reaksi keluarga mangsa mengenai keputusan menghentikan SAR, beliau memaklumkan mereka menerima sekiranya pihak kerajaan terpaksa membuat keputusan sedemikian.
“Pada hari pertama mereka sangat sedih dan sukar menerima selain memohon untuk kita cepat menemui mangsa.
“Kita memberi jaminan akan lakukan secepat mungkin, namun beberapa hari kemudian kita sentiasa bertemu dan maklumkan perkembangan semasa SAR… mereka mula menerima serta bersetuju kalau kita terpaksa berhentikan pencarian,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha kerajaan dalam pencarian mangsa dan memahami keputusan memberhentikan operasi.
“Beliau (Reddy) faham dalam kesungguhan dilakukan pasukan SAR dan memahami jika kita perlu ambil keputusan memberhentikannya dan mereka akan turut membantu bersama menyatakan keputusan kita ini kepada keluarga,” katanya.
Terdahulu, Dr Zaliha memaklumkan operasi mencari dan menyelamat wanita warga India yang terjatuh di lokasi kejadian dihentikan, hari ini.
Katanya, keputusan itu diambil atas beberapa faktor terutamanya disebabkan keselamatan anggota dan keselamatan lokasi.
Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi, 48, berasal dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India di sini.
Dalam pada itu, Zaliha meminta masyarakat tidak mudah mempercayai berita dan ilustrasi berkaitan kejadian tanah jerlus ini yang disebarkan di media sosial.
“Orang ramai perlulah mendapatkan berita-berita yang sahih daripada sumber pihak berkuasa. Saya tahu di luar sana banyak video dan ilustrasi (berkenaan insiden tanah jerlus) yang pelbagai, namun biarlah ia datang daripada pihak yang berautoriti.
“Ramai juga bertanya tentang keselamatan Kuala Lumpur ini, justeru saya menegaskan bahawa Insya-Allah Kuala Lumpur secara amnya berada dalam keadaan yang selamat,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya ada membincangkan perkara itu dengan pakar geologi termasuk Jabatan Mineral dan Geologi dan pihaknya mungkin akan mengadakan siri penerangan secara khusus tentang keselamatan struktur di Kuala Lumpur selepas ini.-BH Online