Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Media sosial kini dilihat menjadi penjajahan bentuk baharu yang dihadapi segenap masyarakat Malaysia terutama dalam penyaluran pengaruh fikiran, budaya dan ideologi.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, era kolonialisme (penjajahan secara langsung) sudah berakhir.

Katanya, jika dahulu cara masyarakat membawa mesej melalui kaedah tradisional seperti akhbar, namun kini ia sudah berubah dan peranan media sosial menjadi penting.

“Kini negara berhadapan dengan penjajahan bentuk baharu yang lebih dikenali sebagai neo-kolonialisme yang dilakukan menerusi tipu daya, penyaluran pengaruh fikiran, budaya, ideologi dan sebagainya melalui media sosial.

null

“Saya meminta generasi pasca merdeka khususnya golongan muda perlu sentiasa menjadikan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai panduan dan asas rukun kehidupan seharian.

“Kepelbagaian rakyat Malaysia adalah satu kelebihan dan aset yang amat penting dan berharga dalam pembangunan negara.

“Jadi semua lapisan masyarakat mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan negara kita terus aman, harmoni dan sentosa,” katanya di majlis Sambutan Anak Merdeka Bersempena Hari Kebangsaan Ke-67 Malaysia di sini, hari ini.

Sambutan Anak Merdeka 2024 dianjurkan oleh Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Persatuan Warisan Anak Merdeka Kuala Lumpur & Selangor.

Ia bertujuan mengukuhkan identiti kebangsaan dan semangat patriotisme dalam membentuk generasi yang memahami dengan lebih mendalam sejarah kemerdekaan negara.

Dalam pada itu, Aaron berkata, sebagai Anak Merdeka semua pihak mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menyebarkan mesej perpaduan dan menanam ‘pohon’ keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.

Beliau berkata, kejayaan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambanthan menyatupadukan pelbagai etnik yang ada di Tanah Melayu dijulang sebagai arkitek yang membina jambatan perpaduan yang diwarisi.

“Semangat dan roh mereka yang bersandarkan kepada kebersamaan dengan satu matlamat untuk mencapai kemerdekaan dari penjajah membolehkan generasi hari ini menikmati erti kebebasan yang sebenarnya.

“Kita haruslah mengambil peluang dan ruang bersama-sama sebagai satu entiti menghayati erti sebenar kemerdekaan kerana ia akan menaikkan lagi semangat patriotisme cintakan tanah air dalam diri kita,” katanya.-BH Online