KUALA NERUS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggesa orang ramai berhenti menyebarkan dakwaan Kuala Lumpur lokasi tidak selamat dan berpotensi berlaku `giant sinkhole’ seperti yang tular di media sosial.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penyebaran berita seumpama itu tidak membantu pasukan penyelamat, selain hanya menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Tatkala negara sedang memberi tumpuan kepada insiden tanah jerlus, ketika itulah juga disebarkan berita-berita palsu yang (dilakukan) secara tidak bertanggungjawab.
“Saya gesa mereka ini supaya menghentikan perbuatan itu, yang pertama beri ruang seluasnya kepada pihak berkuasa untuk menumpukan kepada usaha menyelamat.
“Keluarga mangsa menunggu dengan penuh harapan, perasaan mereka juga harus dijaga (dan) pihak berkuasa juga telah berkali-kali memberi jaminan bahawa keutamaan kita adalah keselamatan termasuk di kawasan sekitarnya.
“Jadi biar pihak berkuasa menjalankan tugas mereka tanpa perlu komen secara tidak berautoriti dan disebarkan secara tidak bertanggungjawab yang diistilahkan sebagai penyebaran berita palsu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Baru Pulau Redang di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dikesan menyebarkan berita palsu.
“Kalau itu diteruskan (penyebaran berita palsu) juga sudah tentulah pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia akan mengguna pakai setiap akta yang ada bagi memastikan bahawa penyebaran ini akan dihentikan dan tindakan undang-undang yang sewajarnya dapat diambil,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial yang mendakwa tempat yang paling tidak selamat di Malaysia adalah KL yang berpotensi berlaku ‘giant sinkhole’ pada bila-bila masa.-BH Online