Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bagan Serai: Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Kerian di sini, yang merupakan projek industri antara yang terbesar di negara ini membuktikan kepercayaan kerajaan kepada kemampuan dan kecekapan syarikat Bumiputera, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, KIGIP yang dianggap projek raksasa dikendalikan sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi SD Guthrie Bhd (SD Guthrie) juga dianggap bakal melakar sejarah sebagai projek industri berteknologi tinggi menggunakan tenaga hijau yang pertama di rantau Asia Tenggara.

Anwar berkata, beliau mahukan supaya kadar kemajuan projek yang bermula dengan keluasan 404.6 hektar itu dipercepatkan seberapa segera selain memastikan ekosistem dan rantaian bekalan (supply chain) berhubung dengannya juga diselaraskan secepat mungkin.

“Saya memilih untuk hadir sendiri dua kali berturut-turut (ke lokasi tapak KIGIP) dan saya percaya dalam masa singkat mungkin sekali lagi, untuk melihat sama ada projek ini berjalan dalam keadaan lebih pantas…. Kalau tanah mendap, saya bilang minggu depan juga tambak. Tender pun kita boleh buatkan supaya jadi tender trek pantas.

“Saya hendak pantau kerana saya mahu KIGIP ini jadi projek kebangaan kita, projek kebangaam Bumiputera serta kebanggaan rakyat Malaysia dan contoh hebat bagi kawasan rantau Asia Tenggara,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Pecah Tanah KIGIP di Simpang Lima di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Anwar berkata, beliau juga mahu supaya adanya anjakan mengenai tempoh kelulusan bagi pelaksanaan semua projek yang memberi manfaat kepada rakyat supaya harus disegerakan, berbanding tempoh biasa yang diperlukan. 

Anwar turut membawakan contoh projek Residensi Suria Madani di Tapak Pembinaan Projek Rumah MADANI, Taman Desa di Kuala Lumpur yang diluncurkannya semalam, dengan mengatakan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya memerlukan tempoh 45 hari bagi memberi kelulusan projek itu berbanding tempoh biasa antara lapan hingga 14 bulan.

“Harus ada anjakan daripada pusat kerajaan terlebih dahulu dan saya syukur kerana masa singkat. Maknanya kalau kita tekad dan mempunyai kesungguhan serta iltizam melaksanakan projek yang memberi faedah kepada rakyat, maka kita boleh laksanakan (segera) atau jika tidak rakyat terpaksa tunggu bertahun-tahun.

“Jadi, saya harap ini jadi satu pengajaran kepada semua bandar dan kota (supaya) dia boleh diluluskan (sesuatu projek) dalam masa cepat kerana salah satu cabaran yang dibimbangkan oleh pelabur adalah apakah benar kita efisyen. 

“(Seperti KIGIP) yang membabitkan teknologi dan tenaga hijau yang merupakan sesuatu yang baharu tetapi kalau projek itu dilaksanakan dalam tempoh lama, saya fikir tidak wajar. Maka projek ini kita bagi kelonggaran apa sahaja yang maknanya kalau kita betul-betul ada keputusan, jalankan dengan ikhlas Lillahi Taala, bersih dan teruskan seperti projek perumahan yang diluncurkan semalam,” katanya.-Harian Metro Online