Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan sedia menggunakan kuasa dan kekuatan yang ada termasuk meminta serta menambah peruntukan undang-undang bagi menangani isu hasutan kaum di negara ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, menjadi tugas kerajaan untuk menyelamatkan negaranya daripada hasutan kelompok kecil yang tidak bertanggungjawab cuba mencetuskan keganasan, kebencian dan permusuhan antara satu sama lain.

“Jika ada mana-mana kelompok kecil bawa hasutan kaum ke arah keganasan dan kebencian dan permusuhan antara satu sama lain, saya tidak peduli sama ada disenangi media antarabangsa atau negara luar kerana tugas kita adalah selamatkan Malaysia tercinta ini.

“Kalau tidak cukup, kita pinda, tambah peruntukan undang-undang, ambil tindakan supaya negara ini selamat dan dapat diangkat sebagai negara hebat di rantau dan dunia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar mahu generasi muda yang disifatkan sebagai penyambung legasi kemerdekaan tidak menjadi ‘perkakas murahan’ dan dipergunakan pihak tertentu untuk mendapatkan kuasa.

Perdana Menteri mahu supaya golongan itu mencari kebenaran bagi menegakkan keadilan dan seterusnya berupaya menyelamatkan bangsa serta negara.

“Saya gunakan kesempatan kemerdekaan ini untuk mengingatkan anak muda penerus generasi yang akan menentukan arah ini, maka belajarlah mendapatkan pencerahan sebenar.

“Jangan jadi perkakas murahan atas nama kaum atau agama, dipermainkan atau diperolok, untuk orang cari wang dan kuasa atau pengaruh.

“Cari kebenaran untuk tegakkan keadilan, selamatkan bangsa dan angkat martabat negara ini, itu tugas generasi muda untuk selamatkan negara,” katanya.

Beliau juga mahu generasi muda mendalami ilmu disiplin baharu serta tidak melupakan pengorbanan perjuangan pejuang terdahulu dalam mencapai kemerdekaan.

“Kita di sini mengukur pertimbangan tapi sebagai membuktikan semua kaum, tokoh berkorban yang mempunyai cita-cita dan wawasan besar (sama ada) Melayu, Cina, India, Iban, Melanau, Kadazan, Dusun, Bajau dan semua kaum.

“Sebab itu saya tegaskan, (perlu) pecahkan tembok-tembok yang mengganggu dan menghalang kejayaan kita dan bina kekuatan baharu,” katanya. -BH Online