Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLUANG: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang berunding dengan kerajaan Sarawak bagi menempatkan pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di negeri itu, sekali gus menjamin kedaulatan perairan terutama dalam menghadapi konflik dan tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata MINDEF sudah mengenal pasti lokasi penempatan pangkalan TLDM, namun ia masih di peringkat rundingan dengan kerajaan Sarawak berkaitan tanah.

“Kita sudah mengenal pasti lokasi dan kini di peringkat rundingan tanah dengan kerajaan Sarawak yang turut sama menyokong dan mengalu-alukan pembinaan pangkalan terbabit.

“Apa yang dirancangkan ialah sekiranya kapal LMS siap, ia juga akan diletakkan di pangkalan terbabit,” katanya selepas melawat Kem Mahkota Kluang, di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa Kerajaan Pusat menyegerakan penempatan pangkalan TLDM dalam menghadapi konflik dan tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

Beliau berpendapat, perkara yang akan berlaku dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang khususnya membabitkan keselamatan perairan negara sukar dijangka, malah ketika ini pun sudah ada bibit perbalahan sengit di perairan bersempadan negara serantau.

Katanya, kebelakangan ini China semakin berkuasa dan memiliki armada tentera laut yang cukup kuat, membuatkan mereka semakin lantang dan agresif menuntut untuk memperluaskan sempadan maritim dengan mempamerkan kekuatan aset maritim di perairan itu.

Justeru, katanya kewujudan pangkalan TLDM yang dicadangkan di Bintulu harus disegerakan kerana Malaysia tidak boleh menunggu sehingga tercetus insiden besar termasuk pencerobohan, baru mahu bertindak.

Mengenai penambahan pos kawalan di sempadan negara, Mohamed Khaled berkata, Malaysia berjiran dengan beberapa negara termasuk Singapura, Indonesia, Filipina dan Brunei.

Justeru, katanya MINDEF sentiasa meningkatkan kawalan termasuk menyediakan pos baharu serta pembelian peralatan bagi memastikan peranan dan tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menjaga sempadan berjalan dengan baik dan lancar.-BH Online