Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Malaysia mengawal ketat kes cacar monyet (mpox) menerusi pintu masuk negara, khususnya membabitkan warganegara berisiko tinggi bagi mencegah jangkitan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, antara inisiatif ialah meletakkan empat mesin pengimbas suhu badan di terminal ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurutnya, seramai 30 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) ditugaskan di terminal ketibaan yang bertugas dalam tiga syif.

Katanya, semua pesawat dari negara bergejala akan berhenti di Terminal C22 dan sekiranya dikesan ada penumpang yang bergejala akan dibawa ke pusat operasi di terminal berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.

“Kita memberi tumpuan kepada penumpang yang tiba dari negara bergejala dan sekiranya dikenal pasti akan dikuarantin di bilik operasi berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di KLIA di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli.

Dr Dzulkefly berkata, setakat hari ini seramai 3.26 juta pelancong telah disaring dan tiada seorang pun dikesan dijangkiti virus berkenaan.

Menurutnya, 34 ujian mpox yang dilaporkan sebelum ini kesemuanya negatif membabitkan 33 warga tempatan dan seorang warga Thailand.

Katanya, selain mengesan jangkitan cacar monyet, mesin pengimbas suhu badan yang diletakkan di Terminal KLIA turut mengesan penyakit demam kuning dalam kalangan pelancong.

“Tiga gejala jangkitan cacar monyet ini dikesan adalah seperti suhu badan yang tinggi, mempunyai ruam di tangan dan kelenjar menjadi bengkak,” katanya.-BH Online