Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak bercadang memperkenalkan cukai kepenggunaan yang menyeluruh terutama Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebagai alternatif untuk menghapuskan subsidi petrol RON95. 

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata setakat ini tiada sebarang perbincangan dibuat dalam kerajaan untuk mengembalikan GST.

Fahmi ditanya mengenai laporan media antarabangsa kononnya Malaysia sedang melihat untuk melaksanakan semula cukai berkenaan. 

“Tak ada, tak ada apa-apa perbincangan (berkaitan GST),” katanya ringkas ketika ditemui selepas menyaksikan raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, laporan terbabit yang memetik sumber rapat dengan kerajaan melaporkan bahawa Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berbincang untuk melaksanakan semula GST. 

Menurut laporan itu lagi, perbincangan untuk melihat kemungkinan mengembalikan GST itu adalah bagi menggantikan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol dalam usaha meningkatkan hasil negara. 

Berdasarkan laporan terbabit, ia adalah sebagai langkah politik ‘mudah’ dengan mengembalikan GST berbanding melaksanakan penyasaran subsidi yang dilihat sebagai tindakan kurang popular.

GST kali pertama dilaksanakan di Malaysia pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus. 

GST kemudiannya digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan apabila ia digantikan dengan sistem SST bermula 1 September 2018. 

Kadar semasa bagi cukai jualan adalah 5 peratus dan 10 peratus manakala kadar cukai perkhidmatan ialah 6 peratus.

Sementara itu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilaporkan berkata Malaysia tidak berhasrat mengembalikan semula GST untuk meningkatkan hasilnya, seperti disarankan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD). 

Rafizi berkata, terdapat banyak cara untuk mencapai pengukuhan fiskal dengan kumpulan berbeza yang menawarkan pelbagai perspektif.-BH Online