Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ipoh: Premis perolehan semula sisa buangan terjadual dan e-sisa di Simpang Pulai, di sini, yang didakwa melakukan pencemaran udara dan bau diberi lesen sementara bagi tempoh tiga bulan untuk menyelesaikan isu terbabit.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beberapa tindakan lain juga sudah diambil terhadap premis itu hasil aduan yang dikemukakan pada 21 Mei lalu.

Menurutnya, antaranya penggantungan lesen berkuat kuasa pada 29 Mei lalu sebelum tindakan penggantungan itu dibatalkan pada 26 Julai lalu.

Katanya, notis penggantungan lesen dikeluarkan mengikut Peraturan 4 Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977 kepada premis itu kerana gagal mematuhi syarat-syarat lesen ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Tempoh tiga bulan diberikan agar premis dapat mengemukakan laporan persampelan serta bau, laporan penilaian kecekapan Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU), pemantauan prestasi alat kawalan pencemaran udara (AKPU) dan audit alam sekitar.

“Tindakan penggantungan lesen sudah dibatalkan pada 26 Julai lalu selepas jawatankuasa audit berpuas hati dengan laporan pemeriksaan yang dibuat pada 18 Julai sebelumnya.

“Ia dibenarkan beroperasi sementara selepas pihak jawatankuasa melihat mereka melepasi beberapa syarat minimum, tetapi ada penambahbaikan dan langkah-langkah lain yang perlu diambil sebelum mereka boleh beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung aduan pencemaran bau dan udara di Simpang Pulai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing serta Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Teh Kok Lim.

Nik Nazmi berkata, premis itu didapati beroperasi sejak 2020 dan terdapat juga aduan diterima mengenainya.

“Kilang itu pada awalnya beroperasi secara haram. Kemudian baru dia (kilang) mendapat lesen dan memohon laporan EIA (penilaian impak alam sekitar) yang menjadikan sekarang ia beroperasi secara berlesen. 

“Selain penggantungan lesen, antara tindakan diambil adalah penahanan operasi kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi alat kawalan pencemaran udara iaitu tiga unit ‘scrubber’ yang gagal diselenggara dengan baik sehingga melepaskan asap dan bau dari cerobong.

“Tindakan POK juga diambil ke atas’ furnase’ yang digunakan untuk operasi peleburan buangan terjadual tanpa kelulusan di bawah Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974; selain kertas siasatan dibuka bagi kesalahan gagal mematuhi notis arahan di bawah Seksyen 31(1)(g) akta sama kerana menceroboh dan merosakkan sitaan terhadap premis,” katanya.-Harian Metro Online