Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad menarik diri daripada bertanding untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang dijadual berlangsung, 7 September ini.

Menerusi platform X, beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan langkah itu diambil susulan Kabinet semalam memutuskan untuk anggota pentadbiran tidak bertanding jawatan persatuan sukan.

Bagaimanapun, namun Nik Nazmi menegaskan beliau akan terus terbabit dengan bola sepak menerusi kapasiti berbeza dengan memajukan lagi Setiawangsa Rangers yang ketika ini menjadi salah satu kelab gabungan KLFA.

“Justeru, saya menerima keputusan tersebut dan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden KLFA.

“Saya akan terus komited menyokong KLFA membangunkan ekosistem bola sepak yang sihat dan menyokong kejayaan KL City FC sebagai pasukan bola sepak profesional.

“Pada masa sama saya akan terus menaungi kelab bola sepak Setiawangsa Rangers, salah satu kelab gabungan KLFA, yang saya asaskan pada 2018,” katanya.

Sebelum ini, Nik Nazmi menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden KLFA dan sudah mengadakan siri perbincangan dengan tokoh korporat, profesional dan institusi kerajaan untuk bersama kelab gabungan mengemudi KLFA.

Jemaah Menteri hari ini memutuskan untuk mengekalkan keputusan dibuat Kabinet pada 2007 supaya tiada mana-mana anggota pentadbiran termasuk menteri dan timbalan menteri dibenarkan menjadi presiden dalam mana-mana persatuan sukan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata keputusan itu adalah untuk memastikan anggota pentadbiran kerajaan kekal dengan amalan tidak terbabit dalam perkara berkenaan.

Serentak dengan keputusan itu, beliau yang juga Menteri Komunikasi mengumumkan penarikan diri daripada bertanding sebagai Presiden KLFA.-BH Online