Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLANG: Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) diminta lebih proaktif untuk meningkatkan produktiviti dan fasiliti supaya mampu tersenarai antara 10 pelabuhan paling sibuk dunia, tahun ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata selepas meraih kedudukan sebagai pelabuhan ke-11 paling sibuk global pada 2023, beliau mahu sasaran dalam kelompok 10 itu dapat dicapai menjelang tahun depan.

Beliau yakin sasaran itu mampu dicapai berikutan faktor Malaysia yang mempunyai sebuah kerajaan kukuh, politik yang stabil dan dasar mesra pelabur yang menarik minat syarikat membina kilang di negara ini.

“Kita juga mengamalkan dasar perdagangan terbuka, baik dengan Amerika Syarikat, Eropah mahu pun China. 

“Faktor ini menyumbang kepada peningkatan produktiviti pelabuhan selain disokong peningkatan nilai perdagangan kita di samping industri eksport dan import yang amat menggalakkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Latihan dan Profesionalisme Industri Pelabuhan dan Haulier (PATH) Peringkat Kebangsaan di Pelabuhan Utara di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong. 

Anthony berkata, kedudukan Northport dan Westports sebagai pelabuhan terbesar di Asia Tenggara, juga meningkat dua anak tangga ke kedudukan ke-11 dalam kalangan 100 pelabuhan dunia sebagaimana laporan oleh Lloyd’s List, baru-baru ini, juga membuktikan potensi untuk melonjak ke kedudukan lebih baik.

Pelabuhan Klang turut menunjukkan indikator positif dengan statistik kendalian kontena semasa dagangan import dan eksport meningkat sebanyak 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pada 2023, Pelabuhan Klang mengendalikan sebanyak 14.06 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU), peningkatan sebanyak 6.3 peratus berbanding 13.22 juta TEU pada 2022.

Beliau berkata, kendalian kontena import dan eksport tempatan juga meningkat sebanyak 8.4 peratus kepada 6.16 juta TEU pada 2023 berbanding 5.68 juta TEU pada tahun sebelumnya.-BH Online