Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Dua penerjun wanita dari Terengganu yang berjaya mencatatkan pencapaian cemerlang di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 akan meneruskan latihan harian mereka di Sekolah Sukan Malaysia yang dikelolakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan keyakinan bahawa bakat kedua-dua atlet ini akan berkembang pesat sebelum berpeluang memasuki program peringkat kebangsaan pada masa akan datang.

“Pengarah Teknikal skuad terjun negara, Bryan Nickson, mengenal pasti penerjun ini untuk dipertimbangkan memasuki program pelapis kebangsaan tahun hadapan, sekiranya mereka terus menunjukkan peningkatan prestasi di kejohanan-kejohanan yang akan datang,” jelas Hannah.

Selain itu, Hannah turut mengharapkan agar Kerajaan Negeri Terengganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan kepada kedua-dua penerjun berkenaan.

“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap Kerajaan Negeri Terengganu tidak mendiskriminasikan pemberian insentif kemenangan kepada kedua-dua penerjun ini, memandangkan mereka juga menyumbang pingat kepada kontinjen Terengganu. Perlu diingat bahawa setiap peserta yang mewakili negeri di Sukma perlu melalui proses pendaftaran yang dipersetujui oleh Majlis Sukan Negeri masing-masing,” kata Hannah.

Hannah turut meluahkan kebimbangan mengenai arahan Kerajaan Negeri yang menghalang pembabitan atlet wanita dalam bidang tertentu, yang dipercayai akan menjejaskan potensi atlet muda dan memberi kesan negatif kepada pembangunan sukan negara.

“Pihak kementerian bimbang dengan arahan Kerajaan Negeri yang tidak membenarkan pembabitan atlet wanita dalam bidang tertentu. Ini boleh merencatkan potensi atlet muda yang terbukti mempunyai bakat dan memberikan impak negatif kepada pembangunan sukan negara secara keseluruhannya,” tambah beliau.

Di Sukma Sarawak, penerjun Terengganu, Ilyssa Ixora Imran dan Uzlifatil Jannah Ashraf, meraih dua pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama.

Uzlifatil turut berjaya memenangi satu lagi pingat gangsa dalam acara 1 meter papan anjal.-Harian Metro Online