Pembabitan wanita yang menceburi kerjaya dalam bidang teknologi dan digital di negara ini semakin ketara.
Sehingga 2021, wanita di Malaysia yang bekerja dalam sektor teknologi meningkat kepada 35 peratus .
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, wanita di negara ini perlu disokong supaya berani menceburi bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Kata beliau, ia bukan sahaja mengenai kesaksamaan tetapi juga mengenai membuka potensi yang akan memacu inovasi serta pertumbuhan ekonomi.
“Wanita perlu digalakkan untuk meneruskan pendidikan dan kerjaya dalam bidang STEM kerana ia adalah pelaburan untuk masa depan negara.
“Kerajaan percaya, bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan STEM tidak lagi bergantung kepada kekuatan fizikal semata-mata.
“Golongan wanita kini menyumbang kepada 50 peratus daripada populasi negara dan meningkatkan penyertaan mereka dalam bidang ini akan meningkatkan lagi kadar buruh wanita di Malaysia dengan berkesan,” katanya berucap merasmikan forum Girls in ICT 2024 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunos.
Forum untuk memperkasakan lagi penyertaan wanita dalam bidang ICT itu dihadiri lebih 300 peserta termasuk peneraju industri dan pelajar universiti tempatan.
Ia menjadi platform di mana wanita yang berjaya dari pelbagai industri berkumpul untuk berkongsi pengalaman dalam kepimpinan dan kisah kejayaan masing-masing dalam ekosistem ICT.
Antara barisan panel yang tampil berdiskusi pada forum berkenaan adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Media Prima Television Networks (MPTN) dan Primeworks Studios, Nini Yusof; Ketua Pegawai Digital Kumpulan Maybank, Kalyani Nair; Ketua Pegawai Maklumat MAXIS, Ng May Ching; Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Ventures Group, Zainariah Johari; Ketua Pegawai Komersil – Pelanggan TM, Jasmine Lee; Ketua Data GX Bank, Caroline Chong, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dan ramai lagi.
Mengulas lanjut Nie Ching berkata, forum itu bukan hanya berkisarkan mengenai pencapaian individu sebaliknya pemerkasaan, memecahkan halangan dan menetapkan penanda aras baharu untuk gadis.
Selain itu, ia juga mengenai mewujudkan rangkaian sokongan yang mampan untuk wanita di negara ini.
Tegasnya, literasi digital dan pembangunan kemahiran dalam kalangan wanita muda juga perlu diberi keutamaan.
Ini kerana kemajuan pesat teknologi menjadikannya penting bagi mereka untuk mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan berkaitan ICT.
“Kemahiran itu penting dalam menyediakan mereka untuk pasaran pekerjaan pada masa hadapan.
“Apabila kita menggalakkan mereka untuk meneruskan pendidikan dan kerjaya STEM, secara tidak langsung kita turut melabur untuk masa depan negara.
“Kajian menunjukkan bahawa dalam pelbagai pasukan terutamanya yang mempunyai perwakilan wanita yang kuat, mereka cenderung untuk menjadi lebih inovatif dan berprestasi lebih baik dari segi kewangan,” katanya.
Sementara itu, pelajar jurusan Pengurusan Perniagaan, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM), Nur Auni Izzati Zaluwi, 19, berkata, dia dan rakan-rakannya sukarela menyertai forum berkenaan sebaik sahaja mengetahuinya daripada pensyarah.
Katanya, seramai 46 pelajar dari kolej terbabit menyertai forum selama sehari berkenaan.
“Forum seperti memberi banyak manfaat kepada kami, pelajar yang akan memasuki dunia pekerjaan kelak.
“Selain mendengar sendiri perkongsian realiti sebenar dunia pekerjaan daripada tokoh-tokoh korporat wanita, peserta juga didedahkan dengan kepentingan ilmu ICT dalam dunia pekerjaan hari ini.
“Lebih menarik, kami juga diajar bagaimana untuk membina rangkaian yang penting untuk kehidupan di alam pekerjaan kelak. Memang bermanfaat dan tidak membosankan,” katanya.-Harian Metro Online