Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia komited meningkatkan infrastruktur perundangan dalam memajukan timbang tara di negara ini, sekali gus mahu menjadi perintis untuk memastikan timbang tara antarabangsa terus berkembang sebagai asas kepada perintah undang-undang global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan secara konsisten memperjuang timbang tara sebagai komponen utama perniagaan yang menguntungkan persekitaran.

Ia bukan saja penting untuk pertumbuhan ekonomi tetapi juga menegakkan kedaulatan undang-undang pada skala global.

Terbaru, katanya, kerajaan meminda Akta Timbang Tara 2005 yang diluluskan Parlimen pada bulan lalu, membabitkan langkah mempertingkat kerahsiaan bagi menjamin privasi dan integriti prosiding timbang tara, memperkemas prosedur bagi memelihara pengiktirafan dan kebolehkuatkuasaan anugerah timbang tara serta pengesahan pembiayaan pihak ketiga yang meluaskan akses kepada keadilan.

“Lokasi strategik Malaysia di persimpangan laluan perdagangan utama meningkatkan kedudukannya sebagai hab timbang tara, selain masyarakat berbilang budaya dan menghormati pelbagai tradisi undang-undang serta bahasa memperkaya rangka kerja timbang tara, sekali gus membolehkan negara menampung pelbagai perspektif dan keperluan undang-undang.

“Pembaharuan dan penambahbaikan berterusan yang dilaksanakan kerajaan memastikan kita kekal sebagai pilihan utama untuk timbang tara antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Timbang Tara Antarabangsa 2024 anjuran Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah AIAC, Datuk Mary Lim Thiam Sua; bekas Ketua Hakim Negara, yang juga Presiden Inns of Court Malaysia (ICM), Tun Arifin Zakaria dan Pengerusi Pusat Timbang Tara Antarabangsa Borneo (BICAM), Tan Sri David Wong Dak Wah.

Sementara itu, Azalina berkata, kerajaan memberi jaminan tiada sebarang campur tangan politik atau tekanan terhadap sistem kehakiman negara, sejajar prinsip pengasingan kuasa yang diamalkan.

Sistem kehakiman Malaysia, katanya, sejak sekian lama dihormati kerana kebebasannya dan ia sesuatu yang membanggakan.

“Kita memastikan tiada campur tangan politik, panggilan telefon di belakang atau tekanan.

“Apa yang perlu diselesaikan, kita hanya perlu menerangkan secara profesional kepada sistem yang diketuai Ketua Hakim Negara hari ini.

“Ini cara bagaimana kerajaan mesti menghormati pengasingan kuasa,” katanya.

Pada masa sama, Azalina turut meminta rakyat memberi peluang kepada kerajaan sedia ada untuk menamatkan penggal pemerintahan berbaki dua tahun setengah lagi bagi membolehkan reformasi perundangan yang dijanji dapat dilaksanakan.

“Walaupun kami kerajaan gabungan terdiri daripada pelbagai parti, kami cuba melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Justeru, biar nanti anda nilai semula (melalui pilihan raya) sama ada mahukan kerajaan ini untuk terus mentadbir atau ahli politik ini terus menjadi menteri,” katanya.-BH Online