Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sepang: Kerajaan tidak akan menangguhkan pelaksanaan kerangka kawal selia untuk melesenkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menyifatkan tindakan Gabungan Internet Asia mengutuskan surat terbuka termasuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu sebagai sesuatu yang pelik.

“Saya berpendirian bahawa dalam perbincangan saya bersama wakil syarikat (platform media sosial dan pesanan internet) sewaktu bertemu di Singapura (baru-baru ini), mereka menyatakan pandangan yang positif dan saya kekal dengan pendirian itu.

“Ia agak pelik malah agak janggal apabila (syarikat) Grab mengeluarkan kenyataan, mereka tak ada kaitan (dengan surat diutuskan AIC), tak dibincang dan ini kita serah kepada AIC untuk menjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis Temu Mesra Masyarakat Kampung Orang Asli Kelinsing di sini, hari ini.

AIC menerusi surat terbuka kepada Perdana Menteri meminta kerajaan menangguhkan rancangan mewajibkan permohonan lesen oleh semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurang lapan juta pengguna berdaftar di negara ini.

AIC yang anggotanya termasuk Google, Meta, X, Apple Inc, Amazon dan Grab, mendakwa langkah pelesenan itu ‘tidak boleh dilaksanakan’ bagi industri berkenaan dan boleh mengekang inovasi dengan meletak beban tidak wajar terhadap perniagaan.

Bagaimanapun, anggota gabungan itu, Grab menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya tidak terbabit dalam perihal surat terbuka AIC kepada Perdana Menteri Jumaat lalu.

Grab berkata, pihaknya tidak dimaklumkan atau dirunding berhubung surat berkenaan yang menyentuh mengenai kerangka kawal selia kerajaan ke atas platform media sosial dan pesanan Internet.

Fahmi berkata, beliau sendiri sudah menyemak tiga surat yang diutuskan AIC dan sekali lagi berpandangan ia sebagai satu tindakan yang pelik.

“Saya sudah semak dan mereka hantar satu surat pada 23 Ogos lalu, diikuti satu surat pindaan pada 26 Ogos dan satu lagi pagi tadi.

“Satu surat yang sama, pertama ada banyak logo, kemudian tinggal enam logo dan terakhir tiada logo, surat pertama kata ‘unworkable’ dan sekarang ini pandangan mereka sudah berubah,” katanya.

Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan, beliau sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk berjumpa dengan AIC.

“Saya dimaklumkan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) sudah bertemu dengan AIC pada Mei lalu kemudian AIC minta masa sebulan untuk mereka sampaikan pandangan kepada MCMC tetapi mereka minta pula dilanjutkan, bukan sekali tapi beberapa kali.

“AIC tidak mewakili semua, mereka mewakili sejumlah, malah ada kita lihat dalam surat asal, saya lihat ada syarikat yang tiada kaitan langsung yang mana satu daripada 17 syarikat yang logo mereka tertera dalam surat pertama iaitu FedEx, tapi FedEx memang sudah dilesenkan oleh MCMC sebelum ini,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan kerajaan masih berpendirian bahawa platform media sosial dan pesanan internet perlu dikenakan kerangka kawal selia untuk menjamin internet lebih selamat bagi rakyat Malaysia terutama kanak-kanak serta keluarga.

Terdahulu, Fahmi mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.5 juta merangkumi pembinaan semula balai budaya, kantin, tandas awam serta mewujudkan ruang niaga baharu dalam kawasan kompleks budaya Kampung Orang Asli Kelinsing.

Malah, MCMC akan membina sebuah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) bagi membantu merapatkan jurang digital dan pengetahuan di kampung berkenaan yang menjadi Kampung Angkat Madani Kementerian Komunikasi.-Harian Metro Online