Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang memberikan elaun dan pembelajaran secara percuma kepada pekerja gig sebagai langkah meningkatkan kemahiran seiring keperluan semasa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata inisiatif pembelajaran secara percuma itu membabitkan aspek peningkatan kemahiran (upskilling) dan pemahiran semula (reskilling).

Beliau berkata pekerja gig yang bakal mengikuti program itu perlu menyertai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap tertentu dan berpeluang melanjutkan pelajaran ke lima universiti dalam kategori Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

“Kita mahu menyediakan kursus ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ dengan memberi mereka elaun dan pembelajaran secara percuma disamping mereka meneruskan kerja.

null

“Kita juga bukan hanya merancang untuk SKM 1 dan 2 dan ia juga boleh ditingkatkan menjadi 3, 4 dan 5, yang sama tarafnya dengan diploma.

“Kita juga menyediakan mereka untuk melanjutkan pelajaran ke universiti dalam kategori MTUN. Terdapat lima universiti yang akan memberikan kursus pada mereka, (termasuk) bagi yang tidak ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali pun.

“Dengan adanya SKM 5, mereka akan dapat masuk universiti. Begitu juga pihak KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) sedang merancang untuk SKM 6,7, 8 dan seterusnya, supaya pekerja ehailing, phailing dan yang bekerja sendiri juga boleh melanjutkan pelajaran mengikut sistem yang kita rancangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Teknikal Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Ketua Setiausaha, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Presiden ISSA, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas perkembangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM), Ahmad Zahid berharap hasrat itu dapat dilaksanakan segera selepas Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan kebajikan pekerja gig dibentangkan di Parlimen Oktober ini.

Beliau berkata pelaksanaan itu harus mengambil kira jangka masa panjang bukan hanya dari segi perlindungan sosial, tetapi juga mencakupi peningkatan kemahiran terhadap golongan itu. 

“Majlis TVET Negara telah menyusun beberapa kaedah dan pedagogi untuk pekerja ini bagi mengikuti kursus TVET, bukan hanya mereka minat bidang-bidang yang mereka mahu ceburi, tetapi yang mempunyai kadar kebolehpasaran tenaga kerja mengikut kehendak pasaran di Malaysia.

“Kita amat mengambil kepedulian jika pekerja gig ini mungkin mencapai umur lebih 40 tahun, kerana produktiviti mereka mungkin menurun. 

“Jadi yang penting ialah bagaimana keluarga, terutama anak-anak harus dijaga dengan adanya kerja yang dipersiapkan menerusi program yang mereka ikuti, ” katanya.-BH Online