KUALA LUMPUR: Kementerian Digital menyerahkan kepada Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Digital Nasional Bhd (DNB) dalam melaksanakan langkah seterusnya membabitkan perjanjian langganan saham (SSA).
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, ketika ini keputusan yang dibuat oleh DNB untuk menamatkan SSA TM adalah kekal namun kerajaan tidak boleh menghalang TM jika mereka ingin membuat rayuan.
“Mereka (TM) sudah meminta lanjutan masa yang diberikan tetapi tidak dapat mematuhi dalam tempoh lanjutan yang diberikan sehingga SSA antara mereka dan DNB ditamatkan.
“Namun saya ingin tegaskan, perkara ini adalah antara TM dan DNB, bukan kementerian.
“Kami tidak boleh menghalang TM daripada membuat rayuan,” katanya pada Forum Kesalinghubungan Pelabuhan Laut dan Sesi Meja Bulat Eksekutif Pelabuhan Laut, di sini, hari ini.
TM sebelum memaklumkan bahawa mereka sudah menerima notis penamatan daripada DNB pada 23 Ogos lalu berkaitan SSA yang ditandatangani pada 1 Disember 2023.
Ini berlaku selepas permintaan dan rayuan TM untuk lanjutan tarikh akhir Syarat Terdahulu (CP) bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) tidak diterima, disebabkan SSA adalah transaksi pihak berkaitan.
Ketika ditanya adakah TM masih berpeluang untuk terbabit dalam infrastruktur rangkaian 5G kedua negara, Gobind berkata, ketika ini pihaknya masih dalam proses untuk menentukan siapa yang berjaya memenangi tender rangkaian 5G kedua.
“Jadi mengenai siapa yang ingin menyertai dan apa yang akan berlaku adalah sesuatu yang akan dibincangkan kemudian,” katanya.
TM dilaporkan masih berminat dalam pembangunan rangkaian 5G negara dan sudah mengemukakan cadangan dalam penubuhan rangkaian 5G kedua dan menyasar menjadi rakan kongsi utama.-BH Online