Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Perkembangan ekonomi negara yang semakin baik dan berada di landasan tepat membolehkan Kerajaan Perpaduan melaksanakan pelbagai rancangan serta program demi kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, berkata justeru beliau akan memastikan penduduk kawasan itu mendapat manfaat daripada pembangunan di situ.

Beliau berkata, keutamaannya sebagai wakil rakyat ialah memastikan yang terbaik bagi warga Sungai Buloh.

“Kerajaan Perpaduan bawah kepimpinan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama ‘team perpaduan’ yang dianggotai kepimpinan parti lain, sudah meletakkan negara di landasan yang terbaik.

“Perkembangan ekonomi negara juga semakin baik, menyerlah dan berada di landasan terbaik. Pelbagai rancangan serta program sedang diusahakan oleh Kerajaan Madani demi menjamin harapan rakyat,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, perpaduan rakyat adalah kekuatan dan keunikan di negara ini.

“Janganlah gunakan sentimen ‘agama dan kaum’ sebagai modal politik.

“Jangan syok sendiri fakta untuk kepentingan diri bagi mencari modal politik,” katanya sambil menekankan kepentingan untuk menghormati Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan titah Raja-Raja Melayu demi kestabilan pentadbiran negara.

Ramanan turut memaklumkan bahawa beliau bertemu wakil komuniti barisan kepimpinan komponen Kerajaan Perpaduan dan masyarakat setempat untuk sesi sembang santai sempena Bulan Kebangsaan.-BH Online