Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Putrajaya: Kerajaan masih belum menerima maklum balas daripada pembangkang berhubung memorandum persefahaman (MoU) membabitkan peruntukan untuk Ahli Parlimennya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebarang perkembangan mengenai MoU itu seharusnya ditanyakan kepada pembangkang.

“Tanya pembangkang, yang itu (kerajaan) belum dapat lagi, belum dapat respon daripada mereka, jadi tanya pembangkang,” katanya ketika ditemui selepas hadir di Majlis TVET Competent ST-Energy Transition Catalyst, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan sudah menerima draf MoU terbabit.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan PN akan membincangkan draf MoU peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang itu dalam tempoh terdekat.

Takiyuddin turut dilaporkan berkata, pihaknya perlu mengemukakan draf itu kepada Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pimpinan lain untuk membuat keputusan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak seharusnya menjadi isu rumit untuk diselesaikan.

Katanya, ia memandangkan syarat ditetapkan kepada mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang mahu memperoleh peruntukan adalah syarat asas dan proses biasa dalam rundingan dan amalan demokrasi.

Draf MoU berkaitan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memulihkan ekonomi negara demi kesejahteraan rakyat.-Harian Metro Online