Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia memerlukan seramai 62,000 tenaga kerja kompeten bagi merealisasikan usaha menggerakkan penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) sehingga 70 peratus atau 56 GigaWatt (GW) menjelang 2050. 

Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berdaya saing.

“Pengembangan peranan TVET ini sejajar dengan inisiatif di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dengan membangunkan program kemahiran hijau disamping menambah baik program TVET serta pendidikan tinggi bagi sektor hijau. 

“Ini kerana NETR juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 dalam melahirkan pembangunan modal insan kompeten yang responsif, fleksibel dalam aspek peralihan tenaga dan kemahiran hijau,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis TVET Competent ST – Energy Transition Catalyst di sini, hari ini. 

Mengenai program TVET Competent ST l, Fadillah berkata, ia adalah Inisiatif Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi melahirkan orang kompeten menerusi TVET. 

Jelasnya, ia sebagai langkah ke hadapan untuk memastikan graduan bukan sahaja mahir dalam teori, tetapi juga kompeten dalam pelaksanaan praktikal di lapangan. 

“Majlis TVET Competent ST ini diadakan bagi memberi pengiktirafan kepada institusi yang ditauliah oleh pihak ST untuk mengendalikan kursus dan peperiksaan kekompetenan bagi elektrik dan gas.

“Program ini bertujuan untuk mendidik dan mempromosikan keselamatan elektrik dan gas berpaip kepada pelajar dengan matlamat melahirkan lebih ramai orang kompeten elektrik dan gas, yang bukan sahaja berpengetahuan, berkemahiran, malah berkualiti di pasaran negara,” katanya. 

Beliau berkata, bagi memastikan pembangunan keupayaan dan modal insan yang kompeten untuk menyokong agenda peralihan tenaga, kerajaan komited terus memperkasakan proses akreditasi sedia ada yang berfokus kepada tenaga boleh baharu. 

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara ST dan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS). 

MoU itu bertujuan mengharmonikan tadbir urus dan kawal selia dalam perkara berkaitan kekompetenan, kelengkapan elektrik dan gas antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi dan kualiti perkhidmatan kekompetenan negara.-BH Online