Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BURIRAM: Malaysia sentiasa komited meningkatkan kualiti pendidikan digital bersama masyarakat antarabangsa dalam usaha mentransformasikan ekosistem pendidikan di rantau ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, pada November tahun lalu, Malaysia melancarkan Dasar Pendidikan Digital Kebangsaan yang merupakan satu rangka kerja strategik bertujuan memperkukuh penggunaan teknologi digital dalam pendidikan.

“Dasar ini selaras matlamat SDG4 (Matlamat Pembangunan Mampan 4), bertujuan memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama serta mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua. Dasar ini memberi tumpuan kepada melahirkan generasi yang celik digital dan berdaya saing.

“Ia dicapai melalui peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai pelajar, pendidik serta pemimpin pendidikan; pelaburan dalam infrastruktur, infostruktur dan kandungan yang kukuh; serta pembabitan aktif rakan strategik untuk mewujudkan ekosistem pendidikan digital yang kukuh dan bersepadu,” katanya dalam ucapan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) Ke-13, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi.

Seterusnya, Fadhlina memaklumkan menjelang 2025, Malaysia akan menghadapi tahun sangat penting apabila Kuala Lumpur mengambil alih peranan selaku Pengerusi ASEAN.

Bagi memperingati peristiwa penting itu dan meneruskan komitmen merealisasikan hasil Pelan Kerja Pendidikan ASEAN 2021-2025, beliau berkata, KPM mengumumkan penganjuran Seminar Serantau ASEAN yang memfokus penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk memantau kanak-kanak dan belia tidak bersekolah atau ‘out-of-school children and youth’ (OOSCY).

“Selaku Pengerusi, ia juga memberi peluang keemasan kepada kita untuk menilai semula Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pendidikan Tinggi yang diterima pakai sedekad lalu pada 2015.

“Inilah masanya untuk kita menilai kemajuan, menilai semula matlamat kita dan merangka dokumen hasil baharu yang akan membimbing landskap pendidikan tinggi ASEAN bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

“Usaha ini bukan sekadar menghormati komitmen masa lalu, tetapi juga membentuk masa depan pendidikan di rantau ini, memastikan ia kekal relevan, inovatif serta memberi kesan dalam konteks global yang sentiasa berubah,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Thailand, Jeneral Polis Permpoon Chidchob, merasmikan Mesyuarat ASED Ke-13 dan Mesyuarat Berkaitan bertema ‘Transforming Education in the Digital Era’ yang berlangsung di Chang Arena, di sini, hari ini. – BERNAMA